Ahad, 25 Februari 2024 | 4:54pm

Tiada sebab kerajaan tak boleh kaji SSPA tahun ini - Anwar

KUALA SELANGOR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tidak ada sebab mengapa kerajaan kerajaan tidak boleh mengkaji Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) tahun ini.

Perdana Menteri berkata, meskipun berdepan kekangan kewangan dan masalah ekonomi, kerajaan harus mencari jalan memandangkan sudah lebih 10 tahun tiada perubahan dari segi kajian semula.

"Tugas penjawat awam penting. Kalau inilah prestasi mereka dari peringkat tinggi hingga rendah, maka tidak ada sebab mengapa kita tak boleh kaji sistem saraan tahun ini.

"Walaupun berdepan kekangan kewangan dan masalah ekonomi, kerajaan harus mencari jalan sebab lebih 10 tahun tiada perubahan dari segi kajian semula," katanya ketika berucap berucap pada Program MADANI Rakyat Zon Tengah di sini, hari ini..

Awal bulan ini, Perdana Menteri berkata, laporan akhir Kajian SSPA dijangka siap dalam tempoh dua bulan, dengan hasilnya dijangka diumumkan selewat-lewatnya suku keempat tahun ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober tahun lalu, Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan SSPA akan dibuat sepenuhnya bermula 2025.

Bagi tujuan itu, kajian berhubung sistem saraan itu dijalankan secara menyeluruh, memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam.

Ia menerusi penggunaan teknologi dan kemahiran modal insan, prestasi penjawat awam dari aspek produktiviti yang mewajarkan gaji setimpal kepada penjawat awam, kesejahteraan penjawat awam dalam menangani kos sara hidup dan kemampanan fiskal negara dalam membiayai perbelanjaan berkaitan perkhidmatan awam.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengulangi pendirian kerajaan untuk memuktamadkan SSPA termasuk menaikkan kadar bayaran yang tertangguh dengan perkara itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet akan datang.

Terdahulu, Perdana Menteri memuji prestasi kakitangan awam yang semakin baik dan ia dapat dilihat melalui kejayaan Program MADANI Rakyat Zon Tengah.

Katanya, beliau melihat kerjasama semua peringkat jawatan daripada pelbagai kementerian dan pihak berkuasa termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Semua ini menyebabkan rakyat bukan sahaja di Kuala Selangor, malah dari Perak juga datang berkunjung kerana dia lihat semangat MADANI itu wujud di peringkat bawah, iaitu memudahkan pendaftaran, memudahkan pembayaran, meringankan beban rakyat... jadi saya ucap terima kasih setinggi-tingginya kepada semua yang terlibat.

"Ia bertambah meyakinkan saya kerana sekiranya kita bagi jalur yang baik, peringatan yang baik termasuk bonus semalam yang baik, semangat kerja pun meningkat. Sebab itu penjawat awam ini tugas mereka sangat penting untuk kita," katanya.

Berita Harian X