Ahad, 25 Februari 2024 | 3:31pm
Foto hiasan
Foto hiasan

BERNAS akan teliti harga pasaran beras antarabangsa

KUALA LUMPUR: Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) akan meneliti harga pasaran beras antarabangsa, kos operasi dan pertukaran wang asing dalam usaha membantu kerajaan menawarkan harga beras putih import (BPI) yang lebih rendah.

BERNAS berkata, walaupun trend harga BPI masih berlegar di paras tertinggi dalam tempoh 15 tahun lalu, pihaknya sudah membawa masuk serta mengedarkan BPI sebanyak 1.03 juta tan tahun lalu iaitu peningkatan 46 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Pada masa sama, BERNAS terus komited melaksanakan obligasi sosialnya dalam mengurus stok penimbal negara dan sebagai 'Buyer of Last Resort' atau pembeli padi yang terakhir," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempengerusikan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) meminta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengetuai dan menyelaras sesi libat urus mengenai isu padi dan beras secara lebih terperinci dan secepat mungkin.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan semua pihak, termasuk beberapa wakil industri dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili pesawah serta pengilang bagi memastikan ketersediaan beras pada harga yang munasabah kepada rakyat.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata, kerajaan belum membuat ketetapan untuk mewujudkan satu gred beras putih sahaja di negara ini, yang dikenali sebagai Beras Putih Malaysia MADANI.

Dalam pada itu, BERNAS turut mengulangi pendiriannya untuk memberikan kerjasama penuh kepada KPKM dalam mencari mekanisma dan langkah intervensi terbaik bagi memastikan bekalan beras stabil dan mencukupi.

"BERNAS turut menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya pihaknya memperhalusi sebelum membuat keputusan berkait dengan kepentingan bahan makanan itu.

"BERNAS turut memuji usaha Kerajaan MADANI yang mendengar dan mengambil kira semua pandangan daripada wakil kerajaan, pemain industri, ahli akademik dan badan bukan kerajaan pada sesi Mesyuarat Khas NACCOL Tahun 2024, Jumaat lalu," katanya.

Berita Harian X