Ahad, 25 Februari 2024 | 2:06pm
Datuk Dr Ammar Abd Ghapar
Datuk Dr Ammar Abd Ghapar

'Berikan saya sedikit ruang... biarlah reda dahulu'

KUALA LUMPUR: "Berikan saya sedikit ruang, biarlah perkara ini reda dahulu."

Itu reaksi ringkas Datuk Dr Ammar Abd Ghapar ketika dihubungi BH hari ini berhubung penurunan pangkatnya daripada Ketua Pengarah Tourism Malaysia ke jawatan Timbalan Ketua Pengarah.

Beliau enggan memberikan ulasan lanjut mengenai perkara itu buat masa ini, namun berterima kasih kepada media yang berusaha menghubunginya.

Semalam, media melaporkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menafikan memecat Ammar sebaliknya pegawai itu diturunkan pangkat kepada Timbalan Ketua Pengarah.

Menurut King Sing, tindakan itu dibuat kerana kemerosotan prestasi Ammar, yang disifatkan sebagai tidak memuaskan dan tidak mencapai standard ditetapkan.

Sebelum itu timbul dakwaan Ammar dipecat daripada jawatan Ketua Pengarah Tourism Malaysia berdasarkan surat tular di media sosial bertarikh 22 Februari yang memaklumkan berhubung perkara berkenaan.

King Sing menjelaskan disebabkan kelemahan Ammar, banyak pihak termasuk pentadbiran pelancongan negeri merungut kepada kementeriannya.

Beliau turut menyatakan Ammar gagal mewujudkan destinasi baharu untuk pelancong selain tidak berjaya menarik bilangan pelancong ke Malaysia.

Difahamkan kementerian melantik Pengarah Kanan Promosi Antarabangsa (Asia dan Afrika), P Manoharan yang kini menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Perancangan bagi menggantikan Ammar.

Berita Harian X