Sabtu, 24 Februari 2024 | 9:09pm
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. - Foto fail BERNAMA
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. - Foto fail BERNAMA

Sultan Selangor berkenan terima menghadap Nga Kor Ming

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, di sini, semalam.

Kor Ming dalam satu kenyataan dikeluarkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata dalam sesi menghadap yang berlangsung selama 90 minit itu, Sultan Sharafuddin menitahkan seluruh rakyat Malaysia bersatu dan berganding bahu bagi merancakkan semula ekonomi supaya negara kembali disegani dunia.

Beliau berkata Sultan Sharafuddin juga menzahirkan keprihatinan baginda terhadap pembangunan di Selangor.

"Selain melaksanakan dasar mengikut Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Sultan Sharafuddin juga ada bertitah bahawa Kerajaan Negeri Selangor sedang mempergiatkan usaha dalam sektor industri tenaga boleh diperbaharui, termasuk pembangunan loji sisa pepejal kepada tenaga (WTE) serta pembangunan ekonomi hijau.

Pada ketika ini, Kerajaan Negeri Selangor sedang mengkaji untuk menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pengurusan sisa pepejal yang lebih cekap, mampan, efektif serta merancakkan ekonomi kitaran," katanya.

Kor Ming berkata Selangor akan menjadi negeri kelapan menerima pakai Akta 672 sekiranya kerajaan negeri bersetuju untuk mengguna pakai akta itu dan jelasnya, ia akan membantu pengurusan sisa pepejal yang lebih lancar, teratur dan moden.

Berita Harian X