Sabtu, 24 Februari 2024 | 6:44pm
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir

Perkasa TVET kurangkan kebergantungan tenaga mahir dari luar negara - Zambry

LUMUT: Pemerkasaan Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) secara menyeluruh akan meminimumkan kebergantungan Malaysia terhadap kepakaran tenaga mahir dari luar negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata antara pendekatan yang diguna pakai adalah dengan memperluaskan bidang pengajian TVET ke peringkat tertinggi melalui Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

Rangkaian MTUN ialah gabungan empat universiti berasaskan teknikal iaitu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Zambry berkata Rangkaian MTUN menyediakan laluan kepada pelajar lepasan TVET peringkat sijil atau diploma untuk melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD).

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan sumbangan bantuan persekolahan bernilai RM150 menerusi 'Program Kembali Ke Sekolah 2024' kepada 1,000 pelajar dari keluarga B40 di sekitar kawasan Parlimen Lumut di Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung (MPM) di sini, hari ini.

Berita Harian X