Sabtu, 24 Februari 2024 | 5:55pm
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan.

Karnival TEKUN MADANI Selangor di Sungai Buloh pada 1 hingga 3 Mac

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi agensi di bawahnya, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) akan menganjurkan Karnival TEKUN MADANI Peringkat Selangor pada 1 hingga 3 Mac ini.

Timbalan Menteri, Datuk R Ramanan, berkata karnival dianjurkan dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh di Strand Mall, Kota Damansara itu bagi memudahkan rakyat Selangor, khasnya penduduk di Sungai Buloh mendapatkan informasi produk pembiayaan TEKUN.

"Selain itu, mengenai inisiatif dan program yang disusun oleh agensi lain di bawah kementerian itu. Karnival ini juga mendekatkan masyarakat tempatan, khasnya warga Sungai Buloh dengan informasi, inisiatif, bantuan serta pembiayaan disediakan KUSKOP dan 10 agensi di bawahnya," katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, karnival itu juga bagi mewujudkan jaringan perniagaan antara usahawan untuk mewujudkan komuniti usahawan TEKUN yang kukuh, berdaya maju, jujur dan progresif.

"Ini peluang yang baik untuk usahawan setempat mempamer dan mempromosi produk serta perkhidmatan mereka," katanya memaklumkan, lebih 100 reruai jualan dan pameran disediakan bersama pelbagai pengisian dan acara menarik disusun sepanjang tiga hari karnival berkenaan..

Antaranya, sesi perkongsian daripada usahawan berjaya, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) 'Kembali ke Sekolah', Malam Kota Damansara Berselawat, demonstrasi masakan, sukaneka, persembahan artis, demonstrasi solekan dan pemakaian tudung serta cabutan bertuah.

Bagi mengiktiraf usahawan yang berdaya maju, Ramanan berkata, anugerah khas akan turut diberikan kepada lima usahawan terbaik peringkat Selangor dan Sungai Buloh, manakala pelbagai hadiah menarik, termasuk dua motosikal menanti pengunjung bertuah.

Sementara itu, katanya, pelbagai program membabitkan agensi di bawah KUSKOP telah diatur untuk dianjurkan di Parlimen Sungai Buloh, antaranya Jualan MADANI oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), program bersama belia dan program bimbingan keusahawanan.

"Ini demi memajukan usahawan tempatan, seterusnya ekonomi penduduk setempat. Masyarakat setempat diminta mengambil manfaat atas semua program yang akan dilaksanakan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X