Sabtu, 24 Februari 2024 | 5:50pm
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama sebahagian peserta reruai agensi kerajaan pada majlis perasmian Karnival Usahawan dan Jualan Mega MADANI (KUJMM) KUSKOP 2024 di Pasar Tani Kekal Simpang Empat di Arau, hari ini. - BERNAMA
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama sebahagian peserta reruai agensi kerajaan pada majlis perasmian Karnival Usahawan dan Jualan Mega MADANI (KUJMM) KUSKOP 2024 di Pasar Tani Kekal Simpang Empat di Arau, hari ini. - BERNAMA

Raja Muda Perlis mahu lebih banyak koperasi bantu tangani kos sara hidup rakyat

ARAU: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap lebih banyak koperasi sektor pemborongan dan peruncitan di negeri ini dapat mengambil bahagian secara aktif membantu kerajaan menangani masalah kos sara hidup rakyat, khususnya dalam kalangan B40.

Baginda juga bertitah agar penganjuran program seperti Karnival Usahawan dan Jualan Mega MADANI (KUJMM) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) 2024 diperbanyak serta dipelbagaikan pada masa depan.

Ini kerana, titah Raja Muda Perlis, ia memberi manfaat untuk rakyat memperoleh barangan pada harga berpatutan selain mampu menjana pendapatan.

"Program kolaborasi seumpama ini yang dianjurkan secara rentas kementerian dan agensi wajar disokong dan direalisasikan dengan lebih menyeluruh agar impak yang lebih signifikan dapat terhasil dengan peningkatan pendapatan serta pengembangan kapasiti usahawan, penjaja dan koperasi," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis perasmian KUJMM KUSKOP 2024 di Pasar Tani Kekal Simpang Empat, dekat sini hari ini yang turut dihadiri Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

KUJMM KUSKOP 2024 berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin menaruh harapan tinggi agar karnival dan jualan mega itu dapat menyuntik nilai tambah kepada usaha promosi menarik pengunjung ke Perlis melalui tawaran pelbagai produk usahawan dan koperasi.

Ia termasuk barang keperluan harian dan tawaran pakej pelancongan sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

Sementara itu, baginda bertitah, penyertaan koperasi kariah masjid dalam sekor peruncitan barangan keperluan pengguna wajar disokong bertujuan meningkatkan ekonomi komuniti masyarakat Islam selain memenuhi tuntutan fardu kifayah.

"Penyertaan aktif koperasi kariah masjid dalam bidang keusahawanan secara langsung dapat menjana serta mengukuhkan penguasaan ekonomi dalam kalangan umat Islam," titah baginda. - BERNAMA

Berita Harian X