Sabtu, 24 Februari 2024 | 5:31pm
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Kapasiti dan Latihan Pertanian (BPKLP) KPKM, Maturuni Tukiman (kanan) menerangkan kepada belia mengenai Program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan (PLKPK) yang berlandaskan TVET pada Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor, hari ini. - BERNAMA
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Kapasiti dan Latihan Pertanian (BPKLP) KPKM, Maturuni Tukiman (kanan) menerangkan kepada belia mengenai Program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan (PLKPK) yang berlandaskan TVET pada Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor, hari ini. - BERNAMA

80 peratus lepasan program kemahiran pertanian berlandas TVET dapat kerja selepas tamat belajar

KUALA SELANGOR: Kira-kira 80 peratus graduan lepasan Program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan (PLKPK) yang berlandaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memperoleh pekerjaan selepas tamat pembelajaran.

Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Industri Makanan dan Asas Tani, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Zurihanmi Zakaria, berkata jumlah itu permulaan baik dalam usaha negara meningkatkan minat generasi muda menceburi bidang pertanian sebagai sumber pendapatan.

"Di bawah KPKM, kita ada 15 pusat TVET berasaskan pertanian yang menawarkan kursus teknologi pertanian kepada generasi muda untuk memastikan mereka mendapat pengetahuan luas mengenai arus pertanian dan keterjaminan makanan negara.

"Ilmu ini penting untuk mereka kerana kita tidak mahu anak muda masuk bidang pertanian tanpa ilmu, sekadar mengusahakannya. Mereka pewaris hari esok dan menggantikan generasi terdahulu dalam aspek pertanian.

"Jadi kita perlu generasi yang berpengetahuan dan berkemahiran untuk terlibat secara aktif dalam bidang pertanian," katanya pada program Selamat Pagi Malaysia di TV1, hari ini.

Reruai bagi PLKPK dibuka untuk orang ramai di pavilion KPKM sempena Program MADANI Rakyat Zon Tengah yang berlangsung di Kompleks Sukan Kuala Selangor bermula semalam hingga esok.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Kapasiti dan Latihan Pertanian (BPKLP) KPKM, Maturuni Tukiman, berkata PLKPK dibuka kepada semua generasi muda berumur 18 hingga 25 tahun yang berkelayakan.

Pelajar akan ditawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) atau Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) membabitkan 10 bidang.

Bidang berkenaan membabitkan Tanaman, Pengeluaran Padi, Ternakan Ruminan, Ternakan Poltri, Akuakultur Marin, Akuakultur Air Tawar, Teknologi Perikanan Tangkapan, Pemprosesan Makanan, Pemasaran dan Penyenggaraan Jentera Pertanian.

"Terdapat 15 pusat bertauliah yang menawarkan program ini dengan yuran pengajian percuma, malah pelatih juga akan diberi elaun RM200 hingga RM300 sebulan, makan minum serta penginapan turut disediakan.

"Dengan ilmu kemahiran secara percuma ini, generasi muda sepatutnya tidak melepaskan peluang kerana usaha kerajaan untuk mengurangkan import negara dan menghasilkan tanaman sendiri akan membawa manfaat dan keuntungan kepada mereka pada masa akan datang," katanya.

Maturuni berkata, sejak PLKPK diwujudkan pada 2002, ramai ikon pertanian berjaya dilahirkan dalam kalangan golongan muda, antaranya lulusan SKM Tahap 3 (Poltri) pada 2018, Mohamed Aiman Syafiq Mahiddin yang berjaya menguasahakan ternakan ayam pedaging dan kambing.

Katanya, kini lepasan Institut Teknologi Unggas di Masjid Tanah, Melaka itu berjaya menjual 4,000 ayam sebulan dengan pendapatan sekitar RM300,000 sebulan atau RM3 juta setahun dengan bantuan dan sokongan kontrak bersama syarikat tempatan.

Justeru, beliau mengajak anak muda yang menghadiri Program MADANI Rakyat di Kuala Selangor mendapatkan maklumat lanjut berkenan PLKPK di pavilion KPKM dan mendaftar bagi kemasukan pada Mac atau Disember ini.

"Kita sangat mengharapkan anak muda masuk bidang ini. Kuota setiap kemasukan adalah 500 orang, tetapi setiap kali dibuka, hanya sekitar 250 pelatih berdaftar. Kami sangat mengalukan lebih ramai kerana ini dapat membantu menjamin masa depan pertanian negara," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X