Sabtu, 24 Februari 2024 | 1:23pm

Ammar diturunkan pangkat kerana prestasi kerja, bukan dipecat - King Sing

KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menafikan memecat Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar sebaliknya pegawai itu diturunkan pangkat kepada Timbalan Ketua Pengarah.

Katanya, tindakan itu dibuat kerana kemerosotan prestasi Ammar, yang disifatkan sebagai tidak memuaskan dan tidak mencapai standard ditetapkan.

"Saya sudah bagi peluang dan nasihat buat terbaik kepada negara tetapi beliau tidak memberikan perkhidmatan yang sepatutnya.

"Malah, dalam satu mesyuarat yang terbaharu, saya bagi arahan jangan lakukan sesuatu tetapi beliau buat juga sebab itu saya arahkan pertukaran dibuat serta-merta.

"Ini mengenai prestasi (Ammar) dan tiada kaitan dengan isu perkauman ...saya sedih dikata begitu (perkauman) apabila dia kata Manoharan (Ketua Pengarah baharu) boleh duduk minum bersama-sama dengan saya.

"Dia tiada idea atau dia tak tahu. Kalau kamu tidak boleh 'perform' saya mesti tukar dan ia bukan pecat.

"Saya bagi dia turun pangkat sahaja, memang dari dulu bila Ketua Pengarah (KP), bekas KP pencen memang dia dalam senarai bukan nombor satu.

"Saya beri peluang sebab dia ada PhD (Ijazah Kedoktoran) dalam pelancongan.

"Tetapi dia tidak jalankan tugas, dia tidak membuktikan PhD itu. Dia tidak melakukan libat urus dengan negeri-negeri," katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2024 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ditanya mengenai dakwaan pemecatan Ammar berdasarkan surat tular di media sosial bertarikh 22 Februari yang memaklumkan berhubung perkara berkenaan.

King Sing menjelaskan disebabkan kelemahan Ammar, banyak pihak termasuk pentadbiran pelancongan negeri merungut kepada kementeriannya.

"Dia tidak ada libat urus dengan negeri, saya beritahu mesti buat libat urus, jadi negeri pun merungut. Kenapa jadi begitu?

"Siapa tidak menunjukkan prestasi yang baik, turunlah…beri peluang kepada orang lain. Tiada kaitan isu perkauman sebagainya," katanya.

Beliau turut menyatakan Ammar gagal mewujudkan destinasi baharu untuk pelancong selain tidak berjaya menarik bilangan pelancong ke Malaysia.

"Kita terima kedatangan pelancong dari China 1.2 juta sahaja sedangkan Thailand menerima 10 juta pelancong China. Kenapa tidak ada peningkatan, kenapa Malaysia tiada perubahan?

"Kita tetapkan 5 juta pelancong masuk tetapi dia kata hanya boleh capai 3 juta tapi yang masuk hanya 1.6 juta,"

"Dia ikut saya pergi mengadakan promosi (Malaysia ke luar negara) sekali, saya minta dia 'follow up' (buat susulan) tapi di tidak pergi 'follow up'," katanya.

King Sing turut mempertahankan tindakan terhadap Ammar yang dibuat mengikut proses dan prosedur ditetapkan dan bukannya menyalahgunaan kuasa sebagai menteri.

"Kementerian sudah ada calon pengganti untuk mengisi kekosongan itu, dalam kalangan orang Tourism Malaysia" katanya.

Difahamkan kementerian melantik Pengarah Kanan Promosi Antarabangsa (Asia dan Afrika), P Manoharan yang kini menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Perancangan bagi menggantikan Ammar.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing (kanan) menafikan memecat Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar sebaliknya pegawai itu diturunkan pangkat kepada Timbalan Ketua Pengarah. - Foto BH
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing (kanan) menafikan memecat Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar sebaliknya pegawai itu diturunkan pangkat kepada Timbalan Ketua Pengarah. - Foto BH
Berita Harian X