Sabtu, 24 Februari 2024 | 1:09pm
Presiden KPPLPPM, Alwi Shakir Abdullah saran Tribunal Penjawat Awam diwujudkan semula susulan dakwaan penamatan perkhidmatan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), Datuk Dr Ammar Abd Ghapar (kanan).
Presiden KPPLPPM, Alwi Shakir Abdullah saran Tribunal Penjawat Awam diwujudkan semula susulan dakwaan penamatan perkhidmatan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), Datuk Dr Ammar Abd Ghapar (kanan).

Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia syor kembalikan Tribunal Penjawat Awam

KUALA LUMPUR: Surat yang didakwa makluman mengenai penamatan perkhidmatan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), Datuk Dr Ammar Abd Ghapar yang berkuat kuasa Isnin ini, kini tular di pelbagai plaftform media sosial.

Berdasarkan laporan sebuah portal berita yang memetik sumber, tindakan itu diambil mengikut Subseksyen 10 (1) Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992 (Akta 481) dibaca bersama Seksyen 47 Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388).

Bagaimanapun, tidak dinyatakan Ammar yang sudah 36 tahun berkhidmat, akan dipindahkan ke mana dengan jawatan atau gred apa. BH masih berusaha mendapatkan pengesahan dan maklum balas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berhubung dakwaan berkenaan.

Dalam reaksi terhadap perkembangan itu, Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (KPPLPPM) mencadangkan Tribunal Penjawat Awam diwujudkan semula sebagai platform kakitangan kerajaan membela diri jika berasa berlaku penganiayaan terhadap mereka.

Tribunal Penjawat Awam pernah ditubuhkan kerajaan mengikut Akta Tribunal Perkhidmatan Awam 1977, antara lain berperanan menimbang tara sesuatu pertikaian membabitkan pihak yang berkenaan selepas keputusan gagal dicapai di peringkat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Presiden KPPLPPM, Alwi Shakir Abdullah, berkata pihaknya amat terkejut dengan perkembangan dalam Tourism Malaysia dan berpandangan isu berkenaan adalah perkara yang serius terhadap penjawat awam.

"Berpegang kepada prinsip tatakelola yang baik dan kebajikan seseorang yang berstatus pekerja, KPPLPPM berpandangan isu ini adalah satu perkara yang serius terhadap penjawat awam," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, berdasarkan tarikh surat dikeluarkan seperti yang ditularkan serta tarikh kuat kuasa penamatan perkhidmatan, iaitu lima hari, ia adalah tempoh amat singkat, sekali gus mengundang imej dan persepsi yang tidak baik terhadap mana-mana pihak yang menghadapi situasi sama.

"Bagi perkara ini, KPPLPPM mengambil pendirian bahawa perlu ada satu tempoh masa yang lebih adil diberikan supaya keharmonian dikekalkan bukan saja di dalam agensi, malah dalam kalangan penggiat industri," katanya.

Alwi yang juga Naib Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata, tindakan sedemikian menimbulkan kegusaran, yang akhirnya boleh memberi kesan kepada pekerja sektor perhotelan dan pelancongan yang meliputi hampir tiga juta orang.

"KPPLPPM berpandangan satu pekeliling atau arahan pertukaran, peminjaman atau penamatan tanpa sebab munasabah, perlu diwujudkan klausa mengenai tempoh masa notis, sekurang-kurangnya sebulan atau lebih, sekali gus dapat menepis persepsi negatif terhadap penjawat awam secara amnya," katanya.

Beliau juga memaklumkan, pihaknya bersedia untuk bertemu King Sing dalam masa terdekat bagi mendapatkan pencerahan berhubung perkara itu.

Berita Harian X