Sabtu, 24 Februari 2024 | 10:37am
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar. - Foto BERNAMA
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar. - Foto BERNAMA

Ketua Pengarah Tourism Malaysia ditamatkan perkhidmatan?

KUALA LUMPUR: Tular di media sosial surat penamatan perkhidmatan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Datuk Dr Ammar Abd Ghapar yang berkuat kuasa Isnin ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Tiong King Sing, menandatangani surat pemberhentian bertarikh Khamis lalu.

Menurut surat itu, penamatan perkhidmatan Ammar adalah di bawah Subseksyen 10 (1) Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992 (Akta 481), dibaca bersama Seksyen 47 Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388).

Berdasarkan laporan sebuah portal berita yang memetik sumber, difahamkan King Sing memecat Ammar kerana tidak berpuas hati dengan keengganan Ammar mengikut arahan.

Menurut sumber itu, penyingkiran Ammar daripada Tourism Malaysia adalah disebabkan prestasi buruknya dan kegagalan berulang kali mematuhi arahan menteri.

Sumber itu berkata bahawa King Sing sudah memberi Ammar selama setahun untuk memperbaiki, tetapi aduan berterusan.

Sebagai tindak balas, Ammar menyebut bahawa beliau sudah berulang kali meminta pertemuan dengan menteri tetapi ditolak.

Ammar melahirkan rasa kecewa kerana tidak mendapat jawapan apabila bertanyakan mengenai prestasi kerjanya.

"Jika saya tidak 'perform', mengapa jumlah pelancong bertambah? Hanya menteri yang tahu sebab dia menandatangani surat itu.

"Ia tidak menyatakan jika saya akan dipindahkan ke mana, memegang jawatan apa dan gred apa. Saya juga tidak berniat untuk menentang sebarang arahan atau arahan.

"Saya sedih, selepas berkhidmat selama 36 tahun, dengan pengalaman saya, saya tidak sepatutnya diperlakukan begini," kata Ammar dalam laporan itu.

Berita Harian X