Sabtu, 24 Februari 2024 | 8:10am
Pengurus Pusat Pembelajaran dan Pengasingan Barang Kitar Semula (3R), Habibah Yaakob (kanan sekali) bersama pengunjung yang datang bagi mendapatkan pakaian dan kelengkapan sekolah terpakai di Taman Bandar, dekat sini. - Foto Ihsan Pembaca
Pengurus Pusat Pembelajaran dan Pengasingan Barang Kitar Semula (3R), Habibah Yaakob (kanan sekali) bersama pengunjung yang datang bagi mendapatkan pakaian dan kelengkapan sekolah terpakai di Taman Bandar, dekat sini. - Foto Ihsan Pembaca

Pakaian dan kelengkapan sekolah terpakai percuma

TANJUNG MALIM: Ibu bapa yang belum membeli pakaian dan kelengkapan sekolah sempena pembukaan sesi persekolahan baharu boleh berkunjung ke Pusat Pembelajaran dan Pengasingan Barang Kitar Semula (3R) di Taman Bandar, di sini.

Pengurusnya, Habibah Yaakob, 61, ketika dihubungi berkata, mereka boleh mendapatkan pakaian dan kelengkapan sekolah terpakai yang disediakan di pusat ini boleh diambil secara percuma tanpa sebarang bayaran.

Beliau berkata, semua pakaian sekolah terpakai sumbangan orang ramai kepada pusat berkenaan masih dalam keadaan baik malah ada yang masih baharu.

Selain pakaian sekolah, katanya, pusat berkenaan juga menerima sumbangan beg sekolah dan pakaian sukan terpakai.

"Semua pakaian terpakai termasuk pakaian sekolah sudah diasingkan mengikut jantina dan peringkat umur dan mengikut kategori sama ada sekolah menengah dan rendah bagi memudahkan pengunjung memilih.

"Kita sedia maklum dalam menghadapi cabaran ekonomi yang tidak menentu menyebabkan ada segelintir ibu bapa tidak mampu menyediakan pakaian sekolah baharu untuk anak terutama mereka yang mempunyai ramai anak.

"Setiap hari ada sahaja ibu bapa yang datang ke pusat ini memilih pakaian sekolah termasuk beg sekolah dan pakaian sukan," katanya.

Berita Harian X