Sabtu, 24 Februari 2024 | 7:40am
Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal. - Foto NSTP
Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal. - Foto NSTP

PM minta NACCOL bermesyuarat setiap minggu, cari solusi isu padi, beras - Syed Abu Hussin

KUALA LUMPUR: Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta majlis itu bermesyuarat setiap minggu sehingga 20 Mac ini, bagi mencari penyelesaian isu padi dan beras.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Anwar ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas NACCOL 2024 semalam.

"Pada mesyuarat tadi, kita tidak ada ketentuan mengenai penyelesaian isu padi dan beras ini, kita perlu membuat kajian yang lebih mendalam," katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.

Beliau berkata, Perdana Menteri juga meminta bahagian penguatkuasaan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk mengambil tindakan sewajarnya kepada pemain industri yang terbabit dalam melakukan penyelewengan ke atas penjualan beras dengan menukar label beras putih tempatan (BPT) kepada beras putih import (BPI).

Terdahulu, Anwar dalam kenyataan telah meminta KPKM untuk mengetuai dan menyelaras sesi libat urus mengenai isu padi dan beras secara lebih terperinci dan sesegera mungkin.

– BERNAMA

Berita Harian X