Jumaat, 23 Februari 2024 | 10:01pm
Anwar mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis NACCOL 2024, hari ini. - Fath Rizal/Pejabat Perdana Menteri
Anwar mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis NACCOL 2024, hari ini. - Fath Rizal/Pejabat Perdana Menteri

Anwar mahu penguatkuasaan dipertingkat jamin beras ada dalam pasaran, keuntungan tak dikaut berlebihan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu penguatkuasaan dipertingkatkan bagi menjamin keberadaan beras dalam pasaran dan memastikan tiada pemborong atau pengilang mengaut keuntungan berlebihan.

Sambil menegaskan kepentingan langkah itu, Perdana Menteri berkata, peningkatan penguatkuasaan juga akan memastikan tiada pemborong atau pengilang bertindak mencampurkan kandungan Beras Putih Tempatan (BPT) dan Beras Putih Import (BPI) untuk dijual pada harga yang tinggi.

"Hari ini, saya mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Tahun 2024 yang turut dihadiri oleh menteri-menteri, timbalan menteri, Ketua Setiausaha kementerian berkaitan serta Gabenor Bank Negara, selain wakil industri, wakil pengguna, wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik yang merupakan ahli-ahli NACCOL.

"Saya tegaskan bahawa kerajaan perlu terus memberi tumpuan penuh terhadap isu kos sara hidup yang masih membelenggu rakyat meskipun kadar inflasi semakin mereda kepada 1.5 peratus setakat Januari 2024," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anwar berkata, bekalan dan harga BPT dalam pasaran domestik secara umumnya terkawal, namun beliau masih menerima aduan berhubung isu bekalan yang terhad.

Beliau menekankan, rakyat juga terkesan dengan kenaikan harga BPI dalam pasaran global berikutan larangan eksport yang dikenakan oleh negara pengeluar beras.

"Saya tegaskan betapa campur tangan Kerajaan MADANI pada ketika ini amat kritikal dan perlu diputuskan segera bagi memastikan isu bekalan serta harga makanan ruji utama rakyat ini terus kekal stabil dalam pasaran," katanya.

Perdana Menteri berkata, beberapa wakil industri dan NGO antaranya yang mewakili pesawah serta pengilang, turut menyuarakan beberapa cadangan dan pandangan berhubung situasi padi serta beras negara, terutama bagi memastikan ketersediaan beras pada harga yang munasabah kepada rakyat.

Beliau berkata, selepas mendengar dan mengambil kira semua pandangan, mesyuarat mengambil ketetapan agar Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengetuai serta menyelaras sesi libat urus secara lebih terperinci dengan seberapa segera yang mungkin.

"Libat urus ini perlu mengambil kira harga belian padi, faktor bekalan, harga beras import dunia, kemampanan bekalan beras tempatan serta kesan kepada pengguna.

"Saya turut mengarahkan supaya hasil libat urus ini dibentang dan dimuktamadkan dalam Mesyuarat NACCOL pada 20 Mac depan sebelum diangkat untuk pertimbangan Jemaah Menteri," katanya.

Anwar berkata, beliau juga mengarahkan program jualan murah termasuk Jualan Rahmah, Jualan Agro Madani dan lain-lain diperbanyakkan sepanjang tempoh itu, supaya rakyat dapat membeli barangan keperluan harian termasuk beras, pada harga lebih rendah berbanding pasaran.

Beliau berkata, jadual pelaksanaan jualan-jualan murah terbabit akan dihebahkan secara kerap.

"Pada masa sama, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) juga bersetuju untuk mempertimbangkan semula penawaran harga BPI dalam pasaran domestik supaya boleh dijual pada harga lebih rendah.

"Ia sekali gus mewujudkan alternatif kepada rakyat untuk mendapatkan beras dengan harga yang lebih berpatutan," katanya.

Berita Harian X