Jumaat, 23 Februari 2024 | 6:52pm
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

KKM jamin siasat dakwaan kehadiran bahan kimia EDC dalam kosmetik

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan kehadiran bahan kimia pengganggu endokrin (EDC) dalam kosmetik dan produk penjagaan diri.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata KKM akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menangani isu itu bagi mengelakkan kesan yang teruk terhadap kesihatan awam.

"Kita pasti akan mengambil serius isu ini berikutan produk sedemikian boleh menjejaskan kesihatan awam memandangkan EDC mempunyai potensi untuk mengganggu sistem hormon.

"Penggunaan produk ini berupaya memberi kesan akut dan jangka panjang dan kita mesti mengambil perhatian terhadapnya.

Sehubungan itu, kita akan melaksanakan siasatan mendalam mengenainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan majlis tandatangan Memorandum Persefahaman (Mou) antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan IHH Healthcare Malaysia di sini, hari ini.

EDC didapati terkandung dalam banyak produk kosmetik dan produk penjagaan diri yang dijual di pasaran ketika ini.

Ia adalah bahan yang mengubah sistem hormon dan homeostatik organisma hidup yang akan mengganggu dengan ketara proses pengawalseliaan utama badan seperti pertumbuhan, metabolisme, tindak balas tekanan, pembiakan, perkembangan seksual, tingkah laku jantina dan perkembangan janin.

Dr Dzulkefly memberi maklum balas selepas Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa melaksanakan penguatkuasaan lebih ketat undang-undang berkaitan kosmetik dan produk penjagaan diri yang mengandungi EDC di negara ini.

Sebelum ini, Presiden CAP, Mohideen Kader menekankan keperluan untuk kerajaan menangani isu terbabit dengan segera, selain menggesa badan kawal selia untuk mengambil tindakan segera melalui penguatkuasaan.

Gesaan itu dibuat selepas 32 sampel kosmetik dan produk penjagaan diri tempatan untuk kanak-kanak terdiri daripada produk pencuci tangan, gel badan, deodoran, ubat gigi, cecair kumur, pencuci wanita dan tisu bayi didapati mengandungi EDC.

Ujian dijalankan dengan bantuan Wonjin Institut Kesihatan Pekerjaan dan Persekitaran di Korea Selatan.

Kajian itu dibentangkan pada persidangan di Seoul, membabitkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk kumpulan dari Malaysia.

Daripada ujian dilakukan, produk dari Malaysia dikesan mempunyai peratusan tertinggi bagi label bahan tidak betul daripada kalangan lapan negara yang mengambil bahagian, dengan lebih separuh daripada sampel menunjukkan ketidaktepatan.

Paraben sejenis EDC, biasanya digunakan dalam kosmetik untuk mengelakkan kerosakan. Ia membantu memanjangkan jangka hayat produk dengan menghalang pertumbuhan bakteria dan kulat.

Bagaimanapun, beberapa kajian mencadangkan ia mungkin mengganggu hormon serta berpotensi mendatangkan mudarat, membawa kepada isu seperti masalah kesuburan, hasil kelahiran yang buruk dan juga kanser.

Di samping itu, ia boleh menyebabkan kerengsaan kulit.

Berita Harian X