Jumaat, 23 Februari 2024 | 4:02pm
Banyak karya seni sekarang menggalakkan fahaman Barat. - Foto REUTERS
Banyak karya seni sekarang menggalakkan fahaman Barat. - Foto REUTERS

Waspada dengan ideologi Barat

KUALA LUMPUR: Umat Islam perlu berwaspada dengan penularan ideologi Barat seperti fahaman pluralisme, liberalisme, sekularisme dan hedonisme.

Dalam Khutbah Jumaat hari ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkata, fahaman itu semakin berkembang ke seluruh pelosok dunia melalui jarum halus beracun yang dimasukkan perlahan-lahan dalam kehidupan manusia.

"Perkembangan ideologi dan fahaman Barat ini begitu meresahkan kerana kita dapat melihat perubahan yang sangat ketara terhadap cara hidup masyarakat Melayu dan umat Islam hari ini, terutamanya yang telah pun diracuni, sedikit demi sedikit dengan fahaman ini.

"Serangan ideologi ini juga telah menyebabkan manusia semakin ketandusan akhlak mulia dan nilai-nilai pekerti sama ada terhadap ibu bapa, ahli keluarga, guru, rakan rakan dan masyarakat umum," katanya.

JAKIM berkata, fahaman barat sering diserapkan secara harus dalam pelbagai medium seperti drama, filem, media sosial, sukan dan lagu.

"Ada sebahagian filem dan karya seni pula yang dihasilkan pada hari ini semakin berani menyinggung kesucian Islam dan mempersenda ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW," katanya.

JAKIM bagaimanapun tidak menyatakan nama filem secara khusus.

"Ia nampak kecil pada zahirnya atas alasan sekadar hiburan namun hakikatnya ia memakan kesan yang sangat besar terhadap pemikiran dan cara hidup masyarakat, terutamanya pada golongan muda," katanya.

Sebelum ini pelbagai pihak mengkritik filem berjudul La Luna yang kini ditayangkan di platform penstriman, Netflix kerana mempunyai elemen penghinaan Islam.

La Luna ialah filem komedi Singapura - Malaysia, diarahkan M Raihan Halim dan dibintangi barisan pelakon antaranya Shaheizy Sam, Sharifah Amani, Wan Hanafi Su, Hisyam Hamid, Nadiya Nisaa dan Nam Ron.

Pengarah filem La Luna, M Raihan Halim bagaimanapun menyangkal dakwaan yang mengatakan naskhah tersebut mempunyai unsur pemikiran liberal serta menghina agama Islam.

Raihan berkata, filem La Luna dihasilkan dengan niat baik iaitu membincangkan isu penunggang agama secara kritis di layar.

Berita Harian X