Jumaat, 23 Februari 2024 | 11:39am
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah menyampaikan titah diraja pada Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua, Persidangan DUN Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, hari ini. Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. - Foto BERNAMA
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah menyampaikan titah diraja pada Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua, Persidangan DUN Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, hari ini. Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. - Foto BERNAMA

Negara perlukan tatakelola baik, langkah tegas cegah rasuah - Sultan Nazrin

IPOH: Tatakelola yang baik sangat diperlukan untuk membina keyakinan pelabur, termasuk langkah tegas pencegahan rasuah.

Menegaskan demikian, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, langkah tegas pencegahan rasuah seharusnya memberi isyarat penting akan kesungguhan kerajaan mahu memupuk persekitaran perniagaan yang telus lagi adil.

Baginda menambah, amat penting juga untuk Malaysia dilihat sebagai negara stabil, aman dan harmoni untuk memacu pertumbuhan ekonomi dalam menghadapi cabaran besar termasuk cabaran landskap ekonomi global yang makin rumit ketika ini.

Situasi stabil, aman dan harmoni, titah Sultan Nazrin, akan berupaya membangunkan negara yang makmur dan melimpahkan kemakmurannya untuk manfaat rakyat, selain akan dapat membangunkan warga yang kuat untuk membina negara yang kuat.

"Negara yang kuat adalah negara yang warganya memiliki kematangan untuk menerima kelainan dan perbezaan, selain memiliki kedewasaan untuk menerima hakikat bahawa setiap warga memiliki kelemahan di samping kekuatan.

"Kedewasaan untuk menerima hakikat itu juga perlu disusuli dengan warganya yang berminda pintar, iaitu dengan memilih untuk menggabungkan kekuatan dan tidak memperbesar-besarkan kelemahan yang ada.

"Warga yang memiliki semangat patriotik terhadap negara dan bangsanya akan memilih untuk bersatu daripada berpecah," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua, Dewan Negeri (DUN) Perak ke-15, di sini hari ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini. - Foto BERNAMA
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini. - Foto BERNAMA

Sementara itu, Sultan Perak bertitah, segala usaha kerajaan memberi tumpuan kepada sektor-sektor pertumbuhan baharu adalah inisiatif strategik yang mampu meletakkan ekonomi negara lebih berdaya saing di peringkat global.

"Negara tidak terkecuali mendepani cabaran landskap ekonomi global yang lebih rumit dipengaruhi dinamik geopolitik, hubungan perdagangan dan pakatan ekonomi kuasa-kuasa besar.

"Malaysia tidak terlepas daripada kesan negatif akibat peperangan Ukraine-Rusia serta konflik berpanjangan Palestin-Israel yang menjadi bertambah berat dengan peperangan yang sedang berlaku di Gaza," titah baginda.

Mengenai kewangan Perak, baginda bertitah, kutipan hasil yang tinggi serta status kewangan surplus yang direkodkan selama dua tahun berturut-turut pada 2022 dan 2023 dicapai melalui tadbir urus kewangan yang cekap dan kaedah kutipan hasil yang berkesan.

Kedudukan kewangan yang kukuh, titah baginda, membolehkan kerajaan negeri membentangkan belanjawan tertinggi dalam sejarah menerusi Belanjawan Perak 2024 berjumlah RM1.4 bilion, yang hasilnya akan dibelanjakan bagi kesejahteraan rakyat.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama sempena perasmian Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini. - Foto BERNAMA
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama sempena perasmian Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini. - Foto BERNAMA

"Di peringkat Perak, kutipan hasil semakin meningkat, justeru mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan beta. Selama dua tahun berturut-turut, kerajaan keta berjaya menutup akaun dengan surplus RM29.6 juta bagi tahun kewangan 2022 dan surplus RM62.4 juta bagi tahun kewangan 2023.

"Kutipan hasil RM1.21 bilion pada 2023, sekali gus merekodkan kutipan hasil tertinggi yang pernah diperoleh di Perak, mengatasi tujuh peratus sasaran, iaitu RM1.13 bilion yang diunjurkan. Ia dicapai melalui tadbir urus kewangan yang cekap dan kaedah kutipan hasil yang berkesan," titah baginda.

Belanjawan Negeri Perak 2024 diluluskan pada 7 Disember lalu, membabitkan RM865 juta belanja mengurus dan RM491 juta belanja pembangunan, tertinggi dalam sejarah negeri ini.

"Semoga kerajaan beta terus meningkatkan usaha menambahkan hasil di samping mengamalkan langkah belanja berhemah dengan mengamalkan budaya berjimat-cermat serta budaya tidak membazir," titah Sultan Nazrin.

Berita Harian X