Jumaat, 23 Februari 2024 | 7:35am
presiden Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Hakim Nawaf Salam, membenarkan pihak-pihak memberi pandangan mereka mengenai akibat undang-undang pendudukan Israel di wilayah Palestin. - Foto Reuters
presiden Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Hakim Nawaf Salam, membenarkan pihak-pihak memberi pandangan mereka mengenai akibat undang-undang pendudukan Israel di wilayah Palestin. - Foto Reuters

Prosiding ICJ jadi harapan tamatkan kekejaman Israel di Palestin

Malam tadi, Malaysia mencatat sejarah baharu dalam dasar luar, khususnya agenda memperjuangkan kemerdekaan Palestin apabila Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyampaikan kenyataan lisan Malaysia di The Hague, Belanda untuk memohon Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan kesan perundangan akibat dasar dan amalan Israel di Palestin.

Selain Malaysia, negara yang turut dijadual menyampaikan kenyataan lisan hari ini adalah China, Iran, Iraq, Jepun, Jordan, Kuwait, Lubnan, Libya, Luxembourg, Mauritius dan Ireland. Kali pertama Malaysia menyertai sesi pendengaran awam membabitkan Palestin adalah pada 2004.

Malaysia ketika itu menyertai permohonan mendapatkan Pendapat Nasihat ICJ mengenai Kesan Perundangan Pembinaan Tembok di Wilayah Pendudukan Palestin, dan ICJ memutuskan tindakan Israel itu bertentangan undang-undang antarabangsa.

Apa yang pasti, keputusan dan tindakan Malaysia kali ini membuktikan kerajaan tidak pernah berputus asa atau patah semangat meneruskan perjuangannya membela keadilan untuk Palestin, apatah lagi Semenanjung Gaza ketika ini musnah digempur tentera rejim Zionis sejak 7 Oktober lalu.

Paling penting, penegasan Malaysia amat jelas dalam konflik ini menerusi kenyataan lisan disampaikan Mohamad bahawa 'dasar dan amalan' Israel di Palestin amat bertentangan undang-undang antarabangsa serta satu bentuk pencerobohan melampau wilayah negara itu.

Presiden Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Hakim Nawaf Salam, hadir bagi mendengar hujah pihak berkenaan berhubung pencerobohan Israel terhadap wilayah Palestin, di The Hague, Belanda. - Foto REUTERS
Presiden Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Hakim Nawaf Salam, hadir bagi mendengar hujah pihak berkenaan berhubung pencerobohan Israel terhadap wilayah Palestin, di The Hague, Belanda. - Foto REUTERS

Atas sebab ini, Malaysia menuntut Israel bertanggungjawab sepenuhnya terhadap 'dasar dan amalan' di negara itu dan mendesak Israel menamatkan keganasan di wilayah diceroboh di Palestin, memberi jaminan serta memastikan segala 'dasar dan amalan' dilakukan sebelum ini tidak berulang dan terakhir, mengembalikan wilayah dirampas, termasuk membatalkan semua undang-undang menindas di Palestin.

Justeru, kenyataan lisan Malaysia ini diharapkan dapat memberi impak signifikan terhadap keputusan ICJ nanti, apatah lagi jika melihat kepada rekod keganasan dan kekejaman rejim Zionis terhadap penduduk Palestin, khasnya di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis.

Usaha bersama negara anggota PBB membangkitkan kesan perundangan akibat perbuatan Israel di Palestin ini mungkin memakan masa lama, namun kesungguhan dipamerkan 52 negara anggota PBB ini menuntut sokongan padu masyarakat sedunia. Namun hari ini, sentimen anti Israel akibat perang di Gaza semakin meningkat di seluruh dunia.

Tambahan pula, gerakan boikot masyarakat antarabangsa terhadap produk, industri dan perniagaan mempunyai kaitan dengan Israel atau menyokong negara haram itu kini bukan saja membabitkan umat Islam sahaja, bahkan merentasi warna kulit, bangsa dan kepercayaan agama. Bermakna, gelombang anti Israel kini menjadi trend di seluruh dunia.

Berita Harian X