Jumaat, 23 Februari 2024 | 12:10am

Mekanisme baharu kekang penipuan pelaburan diperkenal

KUALA LUMPUR: Satu mekanisme baharu akan diperkenalkan bagi menangani penipuan pelaburan yang sudah mencecah 14,488 kes bagi tempoh 2019 hingga 2023 membabitkan jumlah kerugian melebihi RM1.3 bilion.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mekanisme itu akan dilaksanakan bersama Suruhanjaya Sekuriti (SC).

"Dalam usaha menangani peningkatan jenayah (penipuan pelaburan), hari ini satu perbincangan antara JSJK dan SC diadakan di pejabat JSJK Bukit Aman.

"Satu kesepakatan telah dicapai bahawa satu mekanisme perlu diwujudkan bagi membolehkan masyarakat membuat semakan kesahihan sesuatu tawaran pelaburan," katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, pihak SC sudah membangunkan sebuah platform dipanggil Investment Checker yang boleh diakses menerusi pautan https://www.sc.com.my/investment-checker.

Katanya, platform itu dapat membantu masyarakat bagi membuat kesahihan sesebuah syarikat pelaburan.

"Kedua-dua agensi bersetuju untuk terus memberi komitmen dalam membanteras jenayah penipuan pelaburan melalui kerjasama dari sudut perkongsian maklumat, kepakaran, siasatan dan operasi.

"JSJK yakin kerjasama ini akan memacu perubahan yang lebih berkesan dalam pembanterasan kes penipuan pelaburan dalam negara," katanya.

Berita Harian X