Khamis, 22 Februari 2024 | 6:53pm
Ahmad Zahid yang dalam lawatan kerja rasmi ke Osaka, Jepun berkesempatan mengunjungi Pusat Penyembelihan Halal Jepun di Sanda Shokuniku Kosha. - Foto Facebook Zahid Hamidi
Ahmad Zahid yang dalam lawatan kerja rasmi ke Osaka, Jepun berkesempatan mengunjungi Pusat Penyembelihan Halal Jepun di Sanda Shokuniku Kosha. - Foto Facebook Zahid Hamidi

Jepun buka ruang Malaysia jadi peneraju ekosistem halal antarabangsa

KUALA LUMPUR: Inovasi dan strategi pemasaran bersasar Jepun yang berjaya meningkatkan tarikan dan kebolehcapaiannya untuk meyakinkan penggunanya terhadap produk halal, sudah membuka ruang kepada Malaysia menjadi peneraju ekosistem halal antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata biarpun bilangan penduduk beragama Islam di Jepun agak kecil, pasaran halal negara ini tetap mewujudkan peluang besar bagi pertumbuhan serta kerjasama dalam industri halal.

"Sebagai contoh, jumlah eksport Malaysia mencecah RM59.46 bilion pada 2022, dengan eksport halal ke Jepun berjumlah RM3.6 bilion.

"Angka ini jelas mencerminkan potensi besar boleh diterokai dalam perdagangan sektor halal antara kedua-dua negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menekankan kerjasama kukuh antara Malaysia dan Jepun, yang dapat dilihat menerusi kesungguhan kedua-dua negara dalam hal berkaitan pembangunan industri halal.

"Komitmen Jepun dalam memastikan aspek kualiti dan integriti halal menerusi enam badan pensijilan halal di Jepun yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), membuktikan peranan pentingnya dalam pasaran global," katanya.

Ahmad Zahid berkata, mengambil kira cabaran dihadapi produk halal dikeluarkan negara bukan majoriti Islam seperti Jepun, Halal Development Corporation Berhad (HDC) menggalakkan kepakaran dan infrastruktur dimiliki Malaysia membantu usaha capaian global.

"Sebagai Pengerusi Majlis Pembangunan Halal Malaysia (MPIH), semua pemegang taruh halal bersedia membantu Jepun meningkatkan infrastruktur dan rangkaian bekalannya, sekali gus memperkukuh hubungan dagang dua hala," katanya.

Beliau yang ketika ini berada dalam lawatan kerja ke Jepun memaklumkan, turut mengadakan pertemuan bersama pemain industri halal terkemuka di Jepun, bagi meletak asas lebih kukuh dan mencatat lembaran baharu memperkasa kerjasama berterusan antara Malaysia dan Jepun, terutama ke arah meningkatkan amalan serta piawaian halal antarabangsa.

"Hari ini, saya berbesar hati menyaksikan majlis menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU), yang pertama di antara HDC dan AEON Co(M) Berhad, bertujuan mempromosi produk Halal Malaysia di Jepun.

"AEON (M) akan menyediakan panduan perniagaan kepada pemain industri halal Malaysia bagi menembusi pasaran Jepun, mempromosi Platform Bersepadu Halal HDC (HIP) dan menganjurkan sesi pembentangan untuk mempromosi produk Halal," katanya.

MoU turut dimeterai kata beliau, antara HDC dan Persatuan Halal Jepun (JHA), bertujuan meningkatkan infrastruktur dan pensijilan halal di Jepun, di mana kerjasama memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan dan perkongsian kepakaran untuk menyelaraskan proses pensijilan halal bagi restoran di Jepun.

"HDC dan JHA memberi komitmen untuk mempromosikan aspek integriti halal secara global dan memperkasakan perniagaan tempatan sebagai antara langkah penting ke arah memajukan industri halal dan menyokong komuni Islam di Jepun dan seluruh dunia," katanya.

Berita Harian X