Khamis, 22 Februari 2024 | 6:25pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar melakukan ujian pendengaran diperhatikan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman (kiri) di dalam Pusat Audiometrik Bergerak selepas Majlis Perasmian Pusat Audiometrik Bergerak Yayasan Pelangi Malaysia dan Tabung Haji di Rumah Pengasih Warga Prihatin, Kampung Sungai Ramal Dalam, Kajang - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar melakukan ujian pendengaran diperhatikan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman (kiri) di dalam Pusat Audiometrik Bergerak selepas Majlis Perasmian Pusat Audiometrik Bergerak Yayasan Pelangi Malaysia dan Tabung Haji di Rumah Pengasih Warga Prihatin, Kampung Sungai Ramal Dalam, Kajang - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD

JPSM selaras urusan jabatan pendakwaan syarie negeri

BANGI: Jabatan Pendakwaan Syarie Malaysia (JPSM) yang dalam rancangan untuk ditubuhkan antara lain akan membantu menyelaraskan urusan jabatan pendakwaan syarie di setiap negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata walaupun dengan adanya JPSM, setiap keputusan yang dilakukan oleh jabatan itu kelak tetap perlu dibawa ke Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) serta Majlis Raja-Raja Melayu untuk mendapat perkenan dan persetujuan.

Katanya, setakat ini tiada jabatan daripada Persekutuan untuk menyelaraskan beberapa perkara dan hanya Jabatan Kehakiman Syariah yang menyelaraskan amalan pentadbiran di Mahkamah Syariah seluruh negara.

"Dalam konteks jenayah, kita ada Jabatan Pendakwaan Syarie, ada Ketua Pendakwa Syarie atau Ketua Pengarah Jabatan Pendakwaan Syarie di setiap negeri.

"Cuma yang belum ada adalah satu jabatan di peringkat Persekutuan yang boleh menyelaraskan pelaksanaan pendakwaan syarie di peringkat negeri.

"Tetapi apa sahaja keputusan perlu mendapatkan perkenan dan persetujuan daripada MKI, kemudiannya mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

"Sebab apa sahaja yang babitkan Islam termasuklah pendakwaan syarie kuasanya itu berada di negeri dan kuasa Persekutuan adalah untuk menyelaras pentadbiran berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pusat Audiometrik Bergerak yang disumbangkan oleh Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Yayasan Pelangi Malaysia (YAPEL), di sini hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, berkata proses penubuhan JPSM kini dalam peringkat perbincangan.

Zulkifli berkata, kerajaan komited melaksanakan pemerkasaan perundangan syariah secara sistematik dan teratur termasuk menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).

Bukan sahaja RUU 355, kerajaan akan bawa RUU lain seperti RUU mufti dan pindaan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) dan ada beberapa lagi.

Mengenai Pusat Audiometrik Bergerak yang dilancarkan hari ini, Mohd Na'im berkata TH menyumbangkan sebanyak RM1 juta bagi membolehkan program itu dilaksanakan.

Katanya, Pusat Audiometrik Bergerak itu diadakan di sebuah lori tiga tan yang lengkap dengan dua unit bilik kedap bunyi, peranti saringan pendengaran seperti audiometer, alat bantu pendengaran serta khidmat kaunseling.

Mohd Na'im berkata sebanyak sebanyak 120 unit alat bantuan pendengaran akan diberikan kepada golongan asnaf terpilih.

"Manakala, Pusat Audiometrik Bergerak mensasarkan seramai 6,000 disaring setiap tahun atau 500 orang setiap bulan," katanya.

Berita Harian X