Khamis, 22 Februari 2024 | 1:26pm
Mohd Zuki ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Kali Ke-10, hari ini. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Mohd Zuki ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Kali Ke-10, hari ini. - NSTP/ASYRAF HAMZAH

'Masih banyak ruang penambahbaikan, usah terus berpuas hati'

KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, mahu semua pihak tidak terus berpuas hati dengan pencapaian terkini Malaysia yang berjaya memperbaiki skor dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2023.

Beliau sebaliknya meminta seluruh lapisan masyarakat memberi tumpuan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk melonjakkan lagi pencapaian Malaysia dalam pengukuran CPI, seiring dengan sasaran kedudukan ke-25 terbaik menjelang 2033.

Katanya, ini kerana pelanggaran serta pencerobohan integriti boleh berlaku, bukan hanya ketika berdepan orang ramai tetapi juga membabitkan penggunaan sistem digital yang berkemungkinan boleh dieksploitasi atau diubah suai.

"Biarpun kita berjaya meningkatkan penguatkuasaan, bukan bermakna kita perlu terus berpuas hati kerana masih banyak ruang lagi untuk penambahbaikan.

"Ini termasuk mempercepatkan pelaksanaan Strategi Antirasuah Nasional (NACS) bagi menggantikan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang bermula 2019 hingga tamat tahun lalu," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Ke-10, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Pengurusan & Profesionalisme), Datuk Junipah Wandi.

Seramai 481 peserta terdiri daripada pegawai sektor awam dan swasta serta syarikat berkaitan kerajaan menerima sijil pentauliahan integriti pada majlis anjuran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) SPRM itu.

Pada Januari lalu, Transparency International-Malaysia (TI-M) mengumumkan Malaysia memperbaiki pencapaian skor dalam CPI 2023 daripada 47 kepada 50 mata, dengan kedudukan naik daripada 61 kepada 57, dalam senarai keseluruhan 180 negara yang dinilai.

Dalam pada itu, Mohd Zuki berkata, cabaran mendepani jenayah rasuah dan penyalahgunaan kuasa kini dilihat semakin kompleks.

Justeru, beliau menekankan semua jabatan, agensi dan organisasi sektor awam serta badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu memikul tanggungjawab bersama untuk merealisasikan pemantapan tatakelola yang baik.

Katanya, peranan serta komitmen pengurusan tertinggi organisasi dan ketua jabatan diperlukan dengan menempatkan CeIO di Unit Integriti Kerajaan (IGU) bagi memastikan sasaran sifar rasuah dapat direalisasikan.

"CeIO juga perlu sentiasa mempamerkan jati diri dan integriti tinggi sebagai cerminan produk keluaran kerajaan yang diiktiraf pencapaiannya.

"Malaysia perlu dilihat sebagai negara berintegriti tinggi jika rakyat berhasrat untuk bersaing dengan negara maju. Justeru, segala ilmu diperoleh daripada program ini tidak akan memberi apa-apa manfaat jika tidak ditelusuri dan diterjemahkan sewajarnya.

"Selain itu, negara bukan saja memerlukan rakyat berilmu tetapi juga yang dapat memanfaatkan ilmunya dengan komitmen dan integriti yang tinggi, sekali gus membantu negara bergerak ke arah lebih baik," katanya.

Berita Harian X