Khamis, 22 Februari 2024 | 12:28pm

Kes Spanco: SPRM sudah panggil bekas menteri kewangan tahun 2020-2021

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah merakam percakapan bekas menteri kewangan yang terbabit dalam kontrak perolehan syarikat membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan, Spanco Sdn Bhd (Spanco) bagi tempoh 2020-2021.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata kes membabitkan Spanco masih dalam siasatan dan akaun terbabit masih dibekukan.

Menurutnya, ramai saksi yang sudah dipanggil memberi keterangan dan tidak menolak akan memanggil sesiapa sahaja yang terbabit dalam kuasa meluluskan projek berkenaan.

"Kita sudah merakam keterangan bekas menteri kewangan namun bekas Perdana Menteri ketika itu belum dipanggil memberi keterangan.

"Kita serah kepada pegawai penyiasat di mana jika ada keperluan akan memanggil bekas Perdana Menteri itu untuk memberi keterangan," katanya ditemui pada Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah (CEIO) kali ke-10 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali menyampaikan sijil pada majlis Konvokesyen Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Kali Ke-10 Tahun 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali menyampaikan sijil pada majlis Konvokesyen Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Kali Ke-10 Tahun 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

Azam berkata, menjadi tanggungjawab beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk melaksanakan kerjanya berdasarkan undang-undang, aduan dan tohmahan yang diterima pihaknya.

"Buat masa ini, ia adalah tanggungjawab saya di mana apa saja yang diberi (aduan) kepada kami akan disiasat," katanya.

Siasatan tumpu kontrak Spanco antara 2020-2021

Mengulas lanjut, Azam berkata, siasatan kes Spanco kini menjurus kepada kontrak pemerolehan antara 2020 hingga 2021.

Sehubungan itu, katanya pihaknya sudah merakam percakapan Menteri Kewangan ketika itu, selain tidak menolak kemungkinan melakukan prosiding sama ke atas bekas Perdana Menteri bagi tempoh sama.

"Kita tidak menolak kemungkinan akan memanggil pihak yang terbabit dalam kuasa meluluskan projek berkenaan, tetapi (setakat ini) belum lagi rakam percakapan (bekas Perdana Menteri).

Sebelum ini media melaporkan SPRM melakukan serbuan kediaman seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri bagi siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan perolehan dan pengurusan kenderaan kerajaan bernilai RM4.5 bilion.

SPRM turut menyerbu empat syarikat termasuk pembekal kenderaan kerajaan dengan memanggil lebih 20 individu dan sudah membekukan kira-kira 80 akaun syarikat serta individu yang berkaitan dalam kes itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini juga menyifatkan kontrak perolehan Spanco hanya merugikan negara.

SPRM sudah merakam keterangan bekas menteri kewangan namun bekas Perdana Menteri ketika pemberian kontrak Spanco belum dipanggil memberi keterangan. - Foto fail
SPRM sudah merakam keterangan bekas menteri kewangan namun bekas Perdana Menteri ketika pemberian kontrak Spanco belum dipanggil memberi keterangan. - Foto fail
Berita Harian X