Khamis, 22 Februari 2024 | 9:52am
Lelaki mendakwa sebagai warganegara Maghribi yang dikenali dalam kalangan pengikutnya sebagai 'Mawla Amin'.
Lelaki mendakwa sebagai warganegara Maghribi yang dikenali dalam kalangan pengikutnya sebagai 'Mawla Amin'.

Isu 'Mawla Amin': Taasub melampau berbahaya kepada diri, masyarakat - Mohd Na'im

PUTRAJAYA: Orang ramai diingatkan supaya menjauhkan diri daripada sikap taasub berikutan isu seorang lelaki mendakwa sebagai warga Maghribi dan berada dalam jalur keturunan Nabi Muhammad SAW.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata ketaasuban melampau dalam sesuatu perkara adalah berbahaya kepada diri dan masyarakat.

Beliau menjelaskan, sikap taasub akan menyebabkan seseorang mudah terpengaruh dengan sesuatu dakwaan oleh individu mahupun kumpulan tertentu.

"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengikuti perkembangan laporan akhbar tempatan, Harian Metro, pada 20 Februari 2024 bertajuk 'Eksploitasi Nasab Suci Nabi' serta laporan yang berkaitan.

"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa agama Islam, khususnya Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). untuk menyiasat pendedahan yang dinyatakan dalam akhbar berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar. - Foto fail NSTP
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar. - Foto fail NSTP

Mohd Na'im menegaskan, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengeksploitasi agama untuk kepentingan diri mahupun kumpulan tertentu.

Justeru, beliau berkata, semua pihak dinasihatkan sentiasa merujuk JAIN berkaitan urusan pentauliahan pendakwah supaya setiap perkara disampaikan adalah selari ajaran Islam.

"Semua pihak diminta sentiasa berpegang kepada neraca ilmu, fakta dan menjauhkan diri daripada taasub," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan PDRM memantau kegiatan seorang lelaki mendakwa sebagai warganegara Maghribi yang dikenali dalam kalangan pengikutnya sebagai 'Mawla Amin', dan mengaku mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW.

Seorang mudir sebuah madrasah di Selangor yang dikatakan turut aktif mempromosikan 'Mawla Amin', didakwa mengutip dana awam secara tidak sah, selain cuba mewujudkan penempatan Kerajaan 9 di Melaka sebagai persiapan akhir zaman kepada pengikutnya.

Semalam, Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dilaporkan berkata polis akan bekerjasama dengan pihak agama negeri bagi memantau kegiatan 'Mawla Amin'.

Saifuddin Nasution dipetik berkata, polis akan memantau dari aspek ketenteraman awam membabitkan individu berkenaan dan pengikutnya.

Beliau turut mengesahkan individu berkenaan sering keluar masuk Malaysia dengan menggunakan pas lawatan sosial, dan berada di negara ini selama 90 hari.

Berita Harian X