Rabu, 21 Februari 2024 | 9:29pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Malaysia kecewa UNSC gagal laksana gencatan senjata serta-merta di Gaza

PUTRAJAYA: Malaysia meluahkan kekesalan atas kegagalan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menangani situasi genting yang sedang berlaku di Semenanjung Gaza.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini, berkata resolusi yang diusulkan Algeria gagal menerusi penggunaan kuasa veto, sekali gus melumpuhkan lagi usaha masyarakat antarabangsa menangani malapetaka kemanusiaan di Palestin.

Mengambil kira keadaan di Gaza yang semakin meruncing terutama serangan besar-besaran oleh Israel di Rafah, jalan penyelesaian yang berkesan untuk menangani krisis itu ialah untuk Majlis Keselamatan PBB melaksanakan gencatan kemanusiaan dengan serta-merta.

"Satu-satunya jalan penyelesaian terbaik terhadap konflik ini ialah melaksanakan Penyelesaian Dua Negara berdasarkan garis sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.

"Malaysia mengulangi gesaannya supaya Palestin diiktiraf sebagai anggota penuh PBB," kata kenyataan itu.

Amerika Syarikat (AS) semalam sekali lagi memveto draf resolusi UNSC mengenai perang Israel-Palestin yang menghalang permintaan untuk gencatan senjata kemanusiaan segera.

Seramai 13 anggota majlis mengundi menyokong draf resolusi yang diusulkan Algeria, manakala Britain berkecuali.

AS buat kali ketiga menggunakan kuasa vetonya terhadap draf resolusi berkaitan Gaza sejak permulaan konflik pada 7 Oktober lalu. – BERNAMA

Berita Harian X