Rabu, 21 Februari 2024 | 9:23pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

LPNM mahu tingkat pengeluaran 700,000 tan nanas, tambah 3,000 hektar kawasan tanaman tahun ini

JOHOR BAHRU: Penambahan 3,000 hektar kawasan tanaman nanas dan meningkatkan pengeluaran hasil sehingga 700,000 tan antara empat sasaran mahu dicapai Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) pada tahun ini.

Pengerusi LPNM, Sheikh Umar Bagharib Ali, berkata dua lagi sasaran yang digariskan adalah melonjakkan nilai ekonomi nanas kepada paras RM50 sepokok dan meningkatkan eksport sebanyak 200 kontena menjelang akhir tahun ini.

"Luas penanaman nanas sedia ada kini sebanyak 17,000 hektar dan penambahan lagi 3,000 hektar adalah sesuai dengan Pelan Strategik LPNM yang menyasarkan 20,000 hektar luas bertanam nanas menjelang 2025.

"Antara fokus penting perluasan ini ialah pengembangan tanaman ke Sabah dan Sarawak yang masih memiliki potensi tinggi dari aspek guna tanah bagi tujuan pertanian," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Empat sasaran digariskan LPNM itu disampaikan Sheikh Umar pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 dan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) di Dewan Masmerah, Wisma Nanas di sini.

Beliau berkata, bagi sasaran kedua, pengeluaran hasil nanas sedia ada sehingga 2022 adalah 583,543.23 tan dan peningkatan pengeluaran kepada 700,000 tan bertepatan dengan sasaran digariskan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan

(KPKM) pada sesi Permukiman Kementerian di Desaru, Kota Tinggi pada 2 hingga 4 Februari lalu.

"Kita ingin menekankan, aspek pengadaptasian teknologi dan automasi terkini ke arah penanaman nanas berkepadatan tinggi.

"Pada masa sama, kemasukan varieti baru SG1 dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia pada awal bulan depan bakal menjadi 'game changer' kerana kemampuannya dituai pada jangka masa lebih singkat iaitu dalam tempoh sembilan bulan," katanya.

Beliau berkata, hasrat meningkatkan nilai ekonomi sepokok nanas RM50 berbanding kadar RM20 hingga RM30 ketika ini bertepatan dengan saranan diumumkan kementerian sejak 2017 iaitu menjadikan tanaman nanas sebagai 'Sumber Kekayaan Baharu' pekebun.

"Untuk merealisasikan perkara ini, LPNM akan memberi perhatian serius terhadap agenda 'Sekali Tanam Tiga Kali Tuai' membabitkan buah, sulur (benih) dan juga sisa," katanya.

Beliau berkata, LPNM kini hanya mampu mengeksport 800 kontena saja ke beberapa negara pengimport nanas Malaysia iaitu China, Korea, Jepun, Jerman dan Asia Barat, namun bagi sasaran keempat iaitu peningkatan 200 kontena lagi adalah bagi menyahut seruan Menteri KPKM yang menetapkan garis pencapaian eksport nanas negara sehingga 1,000 kontena tahun ini.

"Saya mahu mengajak seluruh anggota kerja LPNM menumpukan komitmen bagi merealisasikan sasaran ini," katanya.

Berita Harian X