Rabu, 21 Februari 2024 | 8:18pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Doktor bertugas pada Sabtu, Ahad dan hari kelepasan am di 3 klinik di Selangor layak dapat elaun lokum

KUALA LUMPUR: Pegawai perubatan yang diarah bertugas pada Sabtu dan hari kelepasan am di tiga klinik di Selangor masih layak menuntut elaun lokum, malah kebenaran sama turut diberi kepada mereka yang bertugas pada Ahad bermula jam 9 pagi hingga 1 tengah hari.

Tiga klinik itu adalah Klinik Kesihatan Bandar Botanik, Klang, yang berdekatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah; Klinik Kesihatan Taman Ehsan, Gombak, yang berdekatan Hospital Selayang dan Klinik Kesihatan Ampang, Hulu Langat, yang berdekatan dengan Hospital Ampang.

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, pegawai perubatan yang terbabit boleh juga menuntut cuti gantian tertakluk kepada kelulusan ketua jabatan.

"Mengambil kira isu kesesakan di hospital termasuk di Selangor, kerajaan menerusi Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) bersetuju untuk KKM melaksanakan projek rintis melalui pemanjangan waktu operasi klinik kesihatan yang berdekatan dengan hospital.

"Hasil pelaksanaan projek rintis sudah diteliti dan permohonan untuk meneruskan pembayaran elaun lokum sedang dalam pertimbangan agensi pusat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, KKM prihatin untuk memastikan rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan yang terbaik di klinik kesihatan.

"Bagi penyampaian perkhidmatan di klinik kesihatan, waktu operasi adalah mengikut waktu bekerja pejabat, manakala bagi beberapa klinik terpilih untuk melaksanakan perkhidmatan dengan tambahan masa, waktu operasi dilanjutkan selepas waktu bekerja pejabat hingga jam 9.30 malam serta pada Sabtu mulai jam 9 pagi hingga jam 1 tengah hari," katanya.

Sebelum ini, KKM memaklumkan pelaksanaan projek rintis ini dilaksanakan mulai 25 Mac 2023 hingga 31 Disember 2023.

"Dalam tempoh itu, pegawai perubatan yang bertugas pada Ahad sudah diberi kelulusan khas secara bertempoh dalam projek rintis bagi membolehkan elaun lokum dibayar jika mereka diarah bertugas secara lokum.

"Selain itu, pegawai farmasi dan juru X-ray dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional juga diberi pemanjangan elaun lokum pada kadar berbeza," katanya.

Berita Harian X