Rabu, 21 Februari 2024 | 4:46pm
Mawla Mohamed Amin al-Hassani
Mawla Mohamed Amin al-Hassani

Pihak berkuasa pantau kegiatan lelaki dakwa jalur ke-38 keturunan Rasulullah

PUTRAJAYA: Polis akan bekerjasama dengan pihak agama negeri bagi memantau kegiatan seorang lelaki mendakwa warga Maghribi yang dikenali dalam kalangan pengikutnya sebagai 'Mawla Mohamed Amin al-Hassani' yang mengaku berada dalam jalur keturunan ke-38 Nabi Muhammad SAW.

Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata polis akan memantau daripada aspek ketenteraman awam membabitkan individu berkenaan termasuk pengikutnya.

Saifuddin mengesahkan individu berkenaan sering keluar masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan berada di negara ini selama 90 hari.

Mengikut rekod, lelaki itu adalah warga Algeria dan menggunakan pasport perjalanan Perancis.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

"Setakat ini terdapat dua perkara berbangkit iaitu sekiranya aktiviti yang dilakukan bersifat keagamaan dan elemen pelanggaran terhadap apa-apa juga undang-undang dan enakmen, tindakan adalah di bawah polis dan pihak agama negeri," katanya pada sidang media, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau kegiatan seorang lelaki mendakwa warganegara Maghribi yang dikenali dalam kalangan pengikutnya sebagai 'Mawla Amin' yang mengaku bahawa mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW.

Seorang mudir sebuah madrasah di Selangor yang turut aktif mempromosi Mawla Amin mengutip dana awam secara tidak sah selain cuba mewujudkan satu penempatan Kerajaan 9 di Melaka sebagai persiapan akhir zaman kepada pengikutnya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata PDRM sedang memantau pergerakan Mawla Amin dan pengikutnya termasuk madrasah itu yang beroperasi di Selangor.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, beliau mendapat maklumat Mawla Amin datang ke negara ini bagi membina pengaruh serta mendapatkan pengikut dari kalangan rakyat negara ini.

Berita Harian X