Rabu, 21 Februari 2024 | 4:34pm

Angin kencang mungkin punca pokok TER Serting Ulu tumbang, hempap 2 budak - Pengarah Perhutanan

JEMPOL: Angin kencang berkemungkinan menjadi faktor sebatang pokok di Taman Eko Rimba (TER) Serting Ulu, di sini, tumbang dan menghempap dua beradik sehingga meragut nyawa seorang daripada kanak-kanak terbabit, semalam.

Pengarah Perhutanan Negeri Sembilan, Hamidi Abd Halim, berkata hasil siasatan awal mendapati pokok itu sihat, namun pihaknya akan melakukan siasatan lanjut secara menyeluruh berhubung insiden berkenaan.

"Susulan kejadian itu, TER Serting Ulu ditutup serta-merta kepada orang ramai hingga satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

"Kakitangan perhutanan akan terus mengawasi di lokasi supaya tiada sesiapa masuk ke kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Hamidi berkata, Jabatan Perhutanan juga akan melakukan pemantauan di semua lokasi hutan lipur di negeri ini.

Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak berusia empat tahun maut, manakala kakaknya berumur sembilan tahun cedera selepas dihempap pokok ketika berkelah di TER Serting Ulu kira-kira jam 1 tengah hari semalam.

Berita Harian X