Rabu, 21 Februari 2024 | 3:56pm
Ada sesetengah pihak beri komen, saya tak pasti sama ada pihak tertentu ini mahu Bank Negara Malaysia menaikkan OPR kerana saya jangka itu bukan satu perkara yang akan membantu rakyat pada waktu ini - Fahmi Fadzil. Foto hiasan
Ada sesetengah pihak beri komen, saya tak pasti sama ada pihak tertentu ini mahu Bank Negara Malaysia menaikkan OPR kerana saya jangka itu bukan satu perkara yang akan membantu rakyat pada waktu ini - Fahmi Fadzil. Foto hiasan

Kerajaan tak bincang naikkan faedah, jika naikkan OPR rakyat akan terjejas - Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA: Sebarang cadangan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bagi memperkukuhkan nilai ringgit ketika ini, akan memberi kesan langsung kepada rakyat.

Biarpun isu nilai ringgit tidak dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, Menteri Komunikasi, Fami Fadzil, berkata beliau sendiri berpandangan cadangan itu tidak akan membantu rakyat pada waktu ini.

"Saya ambil maklum ada sesetengah pihak beri komen, saya tak pasti sama ada pihak tertentu ini mahu Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan OPR kerana saya jangka itu bukan satu perkara yang akan membantu rakyat pada waktu ini.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga sudah menyatakan perkiraannya (sebelum ini), sekiranya OPR dinaikkan, kadar faedah lebih tinggi tapi kesannya (adalah) kepada rakyat," katanya pada sidang media hari ini.

 Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil. - fotoBERNAMA
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil. - fotoBERNAMA

Beliau ditanya mengenai isu nilai ringgit yang semakin merosot berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, biarpun tidak dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri, Menteri Kewangan II dan Gabenor BNM ada meneliti isu terbabit.

Malah katanya, berdasarkan kenyataan Gabenor BNM sebelum ini, ramai penganalisis mengunjurkan nilai ringgit akan mengukuh tahun ini.

"Ada beberapa faktor disebut Gabenor BNM dan Menteri Kewangan II dan ada dalam kawalan kita seperti eksport yang boleh kita percepatkan prosesnya secara dalaman.

"Malah proses perniagaan boleh dipercepatkan yang membolehkan lebih banyak pelaburan diluluskan untuk mula digerakkan, jadi inilah perkara yang disebut sebelum ini," katanya.

Kabinet tak bincang pengurusan kanan LTAT letak jawatan

Mengenai isu peletakan jawatan beberapa pegawai pengurusan kanan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Fahmi berkata, Jemaah Menteri tidak menerima makluman berhubung perkara itu.

Katanya, isu terbabit juga tidak dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Kami belum lagi menerima pemakluman terkini, apakah statusnya, tetapi saya percaya Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan ada meneliti perkara ini.

"Sekiranya ada makluman nanti, akan diumumkan kemudian," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan tiga pegawai kanan pengurusan LTAT meletakkan jawatan sejak sebulan lalu dalam tabung persaraan untuk 120,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu.

Ia membabitkan peletakan jawatan pengerusinya Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Ketua Eksekutif, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman dan Pengarah Kanan Strategi, Dayana Rogayah Omar.

Berita Harian X