Rabu, 21 Februari 2024 | 3:09pm
Lokman Jamaan (tengah) memeriksa sebahagian kenderaan pada 'Ops Khas Motosikal dan Ops Teknikal Musim Perayaan di pintu gerbang Gambang. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir
Lokman Jamaan (tengah) memeriksa sebahagian kenderaan pada 'Ops Khas Motosikal dan Ops Teknikal Musim Perayaan di pintu gerbang Gambang. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir

14 pemandu bas gagal ujian air kencing Op Khas musim perayaan

KUANTAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan 14 pemandu bas terlibat dalam penggunaan bahan terlarang pada Op Khas Kenderaan Awam bersempena musim perayaan Tahun Baharu Cina dan cuti persekolahan di seluruh negara sejak 1 Februari lepas.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan, berkata mereka didapati menggunakan bahan terlarang itu berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan dengan kerjasama agensi kerajaan berkaitan, di terminal bas sebelum bas terlibat memulakan perjalanan.

"Semua yang terlibat merupakan warga tempatan dan dipercayai menggunakan dadah jenis syabu, methamphetamine dan ganja. Kita percaya mereka mengambil dadah kononnya bagi menyegarkan badan untuk memandu dalam jarak jauh.

Lokman Jamaan (tengah) memeriksa sebahagian kenderaan pada 'Ops Khas Motosikal dan Ops Teknikal Musim Perayaan di pintu gerbang Gambang. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir
Lokman Jamaan (tengah) memeriksa sebahagian kenderaan pada 'Ops Khas Motosikal dan Ops Teknikal Musim Perayaan di pintu gerbang Gambang. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir

"Tetapi penggunaannya menyebabkan kesan sampingan dan membahayakan nyawa termasuk penumpang," katanya sambil menambah operasi khas itu akan berlangsung hingga 29 Februari ini.

Lokman berkata demikian pada sidang media sempena Op Khas Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2024 di Gambang di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah JPJ Pahang Kamarul Iskandar Nordin.

Lokman berkata pihaknya juga akan memanggil syarikat pengendali bas terlibat dan laporan siasatan lengkap akan dikemukakan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk tindakan di bawah Akta 715.

Menurutnya JPJ turut menggantung lesen semua pemandu terbabit di bawah Seksyen 36 Akta 333 setelah pengesahan lanjut diperoleh daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

"Apabila didapati positif ujian urin, kita meminta pihak syarikat bas menukar pemandu terbabit kepada pemandu lain untuk meneruskan perjalanan demi keselamatan penumpang," katanya.

Sepanjang pelaksanaan operasi itu, Lokman berkata sebanyak 21,705 kenderaan pengangkutan awam (KPA) telah diperiksa dengan 32 daripadanya disita manakala 1,181 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya.

"Antara saman yang dikeluarkan ialah berkaitan kesalahan teknikal seperti brek yang menyumbang kepada 266 saman atau 22.5 peratus dan tiada lesen memandu sebanyak 91 saman atau 7.7 peratus.

"Operasi diteruskan hingga 29 Feb ini meliputi pemeriksaan ke atas pelbagai jenis kenderaan bagi memastikan pematuhan peraturan dan undang-undang keselamatan jalan raya selain pemeriksaan ke atas kenderaan pengangkutan awam bagi memastikan kelancaran operasinya," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X