Rabu, 21 Februari 2024 | 2:13pm
Hasil pemeriksaan mendapati ada kesan pada pergelangan tangan mangsa seperti bekas ikatan. - Foto tangkap layar video tular
Hasil pemeriksaan mendapati ada kesan pada pergelangan tangan mangsa seperti bekas ikatan. - Foto tangkap layar video tular

Pemandu dipukul sehingga mati selepas kemalangan, 5 lelaki ditahan

KUALA LUMPUR: Lima lelaki ditahan kerana disyaki memukul seorang pemandu kereta sehingga mati selepas kemalangan, di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, dekat sini, semalam.

Terdahulu, polis menerima maklumat pada jam 9.20 malam mengenai satu kemalangan sebelum anggota trafik yang ke lokasi mendapati sebuah kereta jenis Proton Saga dipercayai terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan di situ.

Anggota turut menemukan pemandu kereta terbabit berada dalam keadaan terbaring di atas jalan, dan hasil pemeriksaan mendapati ada kesan pada pergelangan tangannya seperti bekas ikatan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata pasukan perubatan yang hadir ke lokasi bersama ambulans kemudian mengesahkan pemandu itu sudah meninggal dunia, manakala hasil semakan mendapati mangsa adalah lelaki tempatan berusia 42 tahun.

"Sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, turut hadir di lokasi. Hasil siasatan mendapati saksi penghuni kawasan perumahan itu mendakwa selepas kereta dipandu mangsa terbabas, dia ditarik keluar dari kereta oleh sekumpulan lelaki sebelum dipukul.

"Kemudian, (saksi mendakwa) tangan mangsa diikat sambil terbaring di tengah jalan berhampiran kenderaan. Apabila kenderaan Peronda Polis tiba di lokasi kejadian, semua individu yang berada di situ sudah beredar," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, sepasukan anggota Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman hadir di lokasi untuk menjalankan pemeriksaan lanjut.

"Beberapa sampel 'swabbing' darah dan kesan cap jari diambil, manakala dua utas gumpalan tali berwarna hijau dan coklat di lokasi turut dirampas bagi membantu siasatan.

"Hasil maklumat dan risikan siasatan, kita berjaya menahan lima lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 52 tahun pada jam 2.05 pagi tadi di sekitar kawasan Semenyih serta Beranang yang disyaki ada kaitan," katanya.

Mohd Zaid berkata, kesemua suspek direman lima hari bermula hari ini hingga 25 Februari untuk membantu siasatan.

"Kita masih menyiasat motif sebenar kejadian itu kerana ada yang mendakwa ia berpunca daripada satu kemalangan lain membabitkan mangsa di sebuah lokasi berhampiran.

"Mangsa dikata melarikan diri dari tempat kemalangan pertama dan dikejar orang awam hingga ke Taman Pelangi Semenyih 2 sehingga kenderaannya terbabas.

"Bagaimanapun setakat ini, belum ada mana-mana pihak tampil membuat laporan polis berkenaan kemalangan pertama yang didakwa membabitkan mangsa," katanya.

Mohd Zaid berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh, manakala polis trafik turut membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang, Asisten Superintendan Redzuan Mat Salleh, melalui talian 013-7854100 bagi membantu siasatan.

Maklumat juga boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kajang, Inspektor Ammar Tahir (018-2194013).

Terdahulu, satu rakaman video tular berhubung insiden itu dengan mangsa didakwa melarikan diri dari tempat kejadian selepas melanggar seorang penunggang motosikal di sebuah persimpangan lampu isyarat berhampiran.

Berita Harian X