Selasa, 20 Februari 2024 | 7:41pm
Dr Khairul Azhar (tiga kiri) dan Mohd Johari (empat kiri) pada majlis Menandatangani Surat Hasrat Kerjasama Muslim Care Malaysia dengan Fakulti Pendidikan UKM untuk menerbitkan kamus braille pertama di Malaysia. - Foto NSTP/Sadiq Sani
Dr Khairul Azhar (tiga kiri) dan Mohd Johari (empat kiri) pada majlis Menandatangani Surat Hasrat Kerjasama Muslim Care Malaysia dengan Fakulti Pendidikan UKM untuk menerbitkan kamus braille pertama di Malaysia. - Foto NSTP/Sadiq Sani

MCM jalin kerjasama dengan UKM hasil kamus braille Bahasa Inggeris-Bahasa Melayu

BANGI: Muslim Care Malaysia Society (MCM) menjalin kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menghasilkan Kamus Braille Bahasa Inggeris-Bahasa Melayu yang pertama di dunia.

Kamus bagi kegunaan orang kurang upaya (OKU) penglihatan yang sedang dalam proses penghasilan itu dijangka boleh digunakan oleh golongan sasaran sebelum penghujung tahun ini.

Timbalan Presiden MCM, Mohd Johari Ismail, berkata pihaknya memperuntukkan sumbangan RM130,000 bagi menghasilkan kamus berkenaan yang akan memberi manfaat kepada 50,000 pelajar cacat penglihatan di seluruh negara.

"Atas dasar itulah, MCM tidak teragak-agak menawarkan diri bagi kerjasama dalam projek ini dan penerbitan kamus braille ini disifatkan satu usaha kebajikan murni.

"Kamus braille ini juga boleh dimanfaatkan oleh OKU cacat penglihatan di negara jiran yang turut bertutur menggunakan Bahasa Melayu," katanya pada Majlis Menandatangani Surat Hasrat Kerjasama Antara MCM dan Fakulti Pendidikan UKM, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Hal Ehwal Masyarakat, Fakulti Pendidikan UKM, Dr Khairul Azahar Jamaluddin; Setiausaha Agung MCM ,Ahmad Safuan Ujar dan Penyelaras Surat Hasrat, Fakulti Pendidikan UKM dan MCM, Dr Mohd Norazmi Nordin.

Sementara itu, Khairul Azahar berkata, bagi menyokong aspirasi kerajaan dalam membangun masyarakat MADANI, semua pihak perlu memainkan peranan dalam membantu golongan yang memerlukan.

Katanya, setiap individu memerlukan didikan untuk menjamin masa depan.

"Khidmat pendidikan seharusnya diberikan kepada semua manusia tanpa mengira kekurangan mereka.

"Justeru, ribuan terima kasih dan penghargaan kepada MCM kerana sentiasa positif serta menerima baik hasrat untuk bekerjasama dalam pelbagai aspek bagi membantu golongan yang memerlukan," katanya.

Mohd Norazmi pula berkata, penghasilan kamus braille ini memerlukan masa enam bulan.

Namun katanya, ia bergantung kepada panel yang terbabit dalam penghasilan kamus braille ini.

"Untuk hasilkan cukup 20 jilid ini, kita perlukan ramai panel dan boleh siap dalam masa enam bulan. Jika mengalami kekangan dari segi panel, kamus braille ini boleh siap maksimum dalam tempoh setahun.

"Dengan adanya kamus braille ini kelak, ia sudah pasti dapat membantu OKU penglihatan terutamanya pelajar di sekolah untuk belajar Bahasa Inggeris dengan lebih baik," katanya.

Berita Harian X