Selasa, 20 Februari 2024 | 6:24pm
Ahmad Zahid (kiri) bersama Zambry (kanan) mengadakan pertemuan bersama Masahito Moriyama dan sesi taklimat TVET, di Tokyo hari ini. - Foto Bernama
Ahmad Zahid (kiri) bersama Zambry (kanan) mengadakan pertemuan bersama Masahito Moriyama dan sesi taklimat TVET, di Tokyo hari ini. - Foto Bernama

'Lawatan kerja ke Tokyo beri manfaat kepada Malaysia termasuk sektor TVET'

TOKYO: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan lawatan kerja beliau selama empat hari ke Tokyo memberi manfaat besar kepada Malaysia dalam pelbagai bidang terutama bagi sektor Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, selain itu Malaysia juga mendapat faedah dalam aspek pendigitalan apabila berpeluang bertemu dua syarikat terkemuka dunia dalam bidang itu pada lawatan berkenaan.

"Lawatan hari terakhir di Tokyo ini memberi keberhasilan bukan hanya dalam bidang TVET, tetapi pelbagai bidang lain terutama apabila dua syarikat dalam bidang pendigitalan dan bertaraf dunia memberi input (bagaimana data raya boleh membantu) dalam isu perubahan iklim dan pemanasan global," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media Malaysia selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun, Masahito Moriyama di sini, hari ini.

Turut mengiringi Ahmad Zahid dalam lawatan kerja ke Jepun itu ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid yang tiba di sini pada Sabtu lalu, sebelum ini mengadakan lawatan ke Institut Teknologi Nasional, Kolej Tokyo (Tokyo KOSEN) bagi mempelajari Model KOSEN.

Model KOSEN menekankan konsep pembelajaran TVET lebih menyeluruh dan terangkum dengan menyediakan laluan pembelajaran selama lima tahun kepada pelajar cenderung memilih bidang itu seawal usia 15 tahun.

Semalam, Ahmad Zahid dianugerahkan Ijazah Kedoktoran Kehormat Kejuruteraan daripada Institut Teknologi Shibaura (SIT) sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam pengukuhan kerjasama pendidikan teknikal Malaysia-Jepun.

Penganugerahan itu berikutan usaha berterusan Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara, bagi memastikan TVET terus menjadi platform meningkatkan kemahiran pelajar dan pengukuhan jalinan kerjasama industri kedua-dua pihak.

Selain itu, Ahmad Zahid turut menyaksikan pemeteraian Perjanjian Kerjasama Perkongsian Inovasi antara MyDIGITAL Corporation dan Toshiba Digital Solutions Corporation bagi aplikasi teknologi data raya, serta melawat NEC Super Tower.

Mengulas mengenai bidang TVET, Ahmad Zahid berkata, bukan saja Kementerian Pendidikan Tinggi, malah Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang mempunyai institusi TVET perlu melakukan tindakan susulan terhadap pendedahan diperoleh dalam lawatan kerja itu.

"Begitu juga empat Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang terbabit dalam pendidikan teknikal, perlu dikoordinasikan bagi meningkatkan taraf TVET negara dengan bidang baharu yang digunakan dalam sistem pendidikan teknikal di Jepun," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, dalam lawatan itu, delegasi Malaysia turut berpeluang mempelajari cara Jepun menangani isu bencana alam, susulan negara Matahari Terbit itu sering berdepan situasi seperti banjir, tsunami dan perubahan iklim yang sangat mendadak.

"Tentu kita mahu Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta jawatankuasa banjir peringkat negeri dan daerah mendapat manfaat apabila segala maklumat terbaru yang digunakan di Jepun dapat digunakan di Malaysia.

"Ini terutama apabila pengurangan risiko bencana dapat dipelajari daripada sistem amaran awal yang sudah lama diamalkan di Malaysia dan Jepun mempunyai sistem lebih maju serta harus dipelajari MetMalaysia dan NADMA," katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut meneroka kemungkinan melaksanakan sistem satelit bagi mengurangkan risiko terhadap masalah jerebu, seperti digunakan Jepun.

Mengenai pertemuan dengan Masahito, Ahmad Zahid berkata, antara dibincangkan adalah pembukaan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia yang dijangka pada tahun ini.

"Masahito turut berhasrat melawat Malaysia Mei depan," katanya.

Universiti Tsukuba yang ditubuhkan pada 1872 adalah satu daripada 86 universiti awam dan tersenarai dalam 10 universiti terbaik di Jepun.

Esok, Ahmad Zahid akan meneruskan lawatan kerja ke Osaka dan dijadual menghadiri sesi libat urus bersama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Osaka (OCCI) serta Sesi Meja Bulat: 'Menghubungkan Ekosistem Halal Antara Malaysia dan Jepun bagi Meningkatkan Perdagangan, Pelaburan dan Pekerjaan Berkualiti'.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Halal Malaysia, turut dijadual mengadakan lawatan ke Sanda Shokuniku Kosha Co., Ltd untuk melihat operasi pusat penyembelihan Jepun dalam pengeluaran dan pembekalan daging lembu halal.

"Semoga apa yang kita pelajari sepanjang lawatan di Tokyo ini akan disambung di Osaka untuk mendapat pendedahan dalam bidang lain yang terkait dengan saya pengerusi sesebuah jawatankuasa," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X