Selasa, 20 Februari 2024 | 4:40pm
Zainul Rijal mengetuai delegasi sembilan orang dari GSPP dibenarkan menghadiri pendengaran pendapat nasihat mengenai kezaliman Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), hari ini.- Foto fail NSTP
Zainul Rijal mengetuai delegasi sembilan orang dari GSPP dibenarkan menghadiri pendengaran pendapat nasihat mengenai kezaliman Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), hari ini.- Foto fail NSTP

Delegasi sembilan anggota GSPP hadiri pendengaran pendapat nasihat di ICJ

KUALA LUMPUR: Delegasi sembilan orang dari Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) dibenarkan menghadiri pendengaran pendapat nasihat mengenai kezaliman Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), hari ini.

Delegasi itu diketuai peguam syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mana kumpulan itu adalah peguam dari Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan I-Qanun.

Hanya 10 orang saja yang dibenarkan masuk bagi sesi berkenaan termasuk seorang lagi dari United Kingdom.

Selain Zainul Rijal, PPMM juga diwakili Muhamad Hisham Marzuki, Muhammad Hariz Md Yusoff, Danial Farhan Zainul Rijal dan Muhammad Aiman Muhammad Luthfi Amir manakala I-Qanun diwakili Mod Redza Khazali, Ramadan al Din Azlan Khalili, Siti Nazatul Murnirah Mahadzir dan Farzanah Selamat.

Zainul Rijal berkata, dalam sesi pendengaran itu dihujahkan antara lain mengenai kekejaman rejim Zionis yang dengan terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa.

"Dalam undang-undang antarabangsa, sesuatu pendudukan adalah bersifat sementara tetapi rejim Zionis mahukan pendudukan itu bersifat kekal.

"Pendudukan bersifat kekal adalah satu bentuk annexation atau penjajahan yang perlu dihentikan dengan segera," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zainul Rijal yang juga Presiden Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan (MPSWP) berkata, turut dihujahkan bahawa rejim Zionis itu hanya inginkan geografi Palestin tetapi menolak demografinya.

"Sejarah pendudukan rejim Zionis juga dikemukakan bagi menunjukkan kerakusan rejim berkenaan yang menduduki Palestin secara haram dari tahun 40-an lagi," katanya.

Pendengaran selama tiga jam itu turut menampilkan tujuh pembentang di hadapan 15 hakim.

Selepas selesai sesi pendengaran itu, satu demonstrasi aman di buat di luar ICJ yang mana ratusan menunggu mengucapkan terima kasih kepada Malaysia yang sanggup berkorban untuk menyokong Palestin.

"Mereka terharu dengan usaha delegasi Malaysia yang sanggup datang dari jauh untuk menzahirkan sokongan.

Malah, delegasi GSPP adalah satu-satunya badan bukan kerajaan yang dibenarkan menghadiri perbicaraan itu, " kata kenyataan itu.

Esok, beberapa negara dijangka akan mengemukakan kenyataan negara berkaitan isu pendudukan rejim Zionis dan Malaysia dijangka akan memberi kenyataan pada 22 Februari (Khamis).

Mahkamah Keadilan Antarabangsa dijangka membuat keputusan pada 26 Februari nanti.

Berita Harian X