Selasa, 20 Februari 2024 | 3:25pm
Siri nombor pendaftaran ‘GOLD’ dibuka oleh JPJ sempena sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50. - Foto IG officialsultanibrahim
Siri nombor pendaftaran ‘GOLD’ dibuka oleh JPJ sempena sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50. - Foto IG officialsultanibrahim

Sultan Ibrahim pemilik nombor 'GOLD 1'

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim melakar sejarah baharu apabila muncul sebagai pembida nombor pendaftaran kenderaan tertinggi di negara ini.

Ia dicatat menerusi kejayaan baginda membida nombor pendaftaran kenderaan 'GOLD 1' dengan nilai RM1.5 juta, seperti dimaklumkan dalam muat naik di laman Instagram Officialsultanibrahim, hari ini.

Nilai bidaan berkenaan akan disalurkan kepada Kerajaan Persekutuan.

Terdahulu, baginda juga berkenan menerima mengadap Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook di Istana Negara, dekat sini.

Pada pertemuan itu, Siew Fook turut mempersembahkan simbolik nombor plat kenderaan berkenaan kepada Sultan Ibrahim.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini, dilapor membuka bidaan bagi nombor pendaftaran istimewa (NPI) iaitu siri 'GOLD' sempena sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50.

Bidaan itu dibuka melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) mulai 1 Februari lalu, sehingga jam 10 malam 5 Februari ini.

NPI yang dimaksudkan ialah tanda indeks mempunyai prefix siri GOLD, melambangkan sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50.

Harga bidaan menerusi JPJeBid adalah mengikut kadar minimum ditetapkan, iaitu bermula daripada RM20,000 bagi nombor bernilai utama, nombor menarik (RM3,000), nombor popular (RM800), dan nombor biasa (RM300).

JPJ menerusi bidaan nombor pendaftaran FF sebelum ini berhasil mendapat pulangan hampir RM35 juta.

Berita Harian X