Selasa, 20 Februari 2024 | 2:51pm
Lelaki Palestin cuba tenangkan seorang kanak-kanak di tengah runtuhan bangunan yang musnah akibat serangan Israel di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Lelaki Palestin cuba tenangkan seorang kanak-kanak di tengah runtuhan bangunan yang musnah akibat serangan Israel di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP

Pendudukan 'kejam' Israel di Palestin perlu ditamatkan - Amnesty International

KUALA LUMPUR: Pertubuhan hak asasi terkemuka, Amnesty International menggesa Israel untuk menamatkan pendudukan 'kejam' di Palestin dan berhenti menyemarakkan apartheid serta pencabulan hak asasi manusia yang sistematik.

Setiausaha Agung Amnesty International, Agnes Callamard, berkata pendudukan atau tindakan Israel yang cuba menjajah Palestin adalah satu pencabulan hak asasi manusia yang meluas dan sistematik terhadap rakyat Palestin.

"Tindakan pendudukan terbabit juga telah membolehkan dan mengukuhkan sistem apartheid Israel yang dikenakan ke atas rakyat Palestin.

"Pendudukan selama bertahun-tahun itu berkembang menjadi pendudukan berterusan dalam pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan.

"Dunia perlu mengakui bahawa menamatkan pendudukan haram Israel adalah prasyarat untuk menghentikan pelanggaran hak asasi manusia yang berulang di Israel dan wilayah Palestin yang diduduki, katanya dalam kenyataan.

Katanya, di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, pendudukan wilayah ketika konflik adalah untuk sementara sahaja.

"Kuasa pendudukan diperlukan bagi mentadbir wilayah untuk kepentingan penduduk yang diduduki dan memelihara sebanyak mungkin keadaan yang wujud pada permulaan pendudukan.

"Ia termasuk dengan menghormati undang-undang yang ada dan mengelak daripada memperkenalkan perubahan demografi serta mengganggu keutuhan wilayah yang diduduki," katanya.

Katanya, pendudukan Israel telah gagal untuk menyelaraskan prinsip asas undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

"Tempoh pendudukan Israel telah menjangkau lebih setengah abad dan ditambah pula dengan aneksasi atau pengilhakan rasmi secara haram oleh pihak berkuasa ke atas Baitulmaqdis Timur yang diduduki.

"Pengilhakan 'de facto' kawasan besar Tebing Barat melalui rampasan tanah dan perluasan penempatan, memberikan bukti jelas bahawa tujuan Israel adalah supaya pendudukan itu kekal demi faedah kuasa pendudukan dan rakyatnya sendiri," katanya.

Berita Harian X