Selasa, 20 Februari 2024 | 2:20pm

KPDN sedia siasat dakwaan kartel industri beras

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mahu pihak yang ada maklumat berkaitan dakwaan wujud kartel dalam industri beras negara supaya salurkan kepadanya.

Menteri, Datuk Armizan Ali, berkata pihaknya memberi jaminan akan menyiasat maklumat berkenaan jika terbukti wujud kegiatan sedemikian.

Katanya, KPDN menerusi Suruhanjaya Persaingan (MyCC) sentiasa terbuka untuk mengambil tindakan sewajarnya jika Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atau mana-mana pihak mempunyai maklumat berkaitan perkara itu.

"Sejak berkuat kuasa Akta Kawalan Padi dan Beras 1994, bidang kuasa kawal selia berkaitan industri padi dan beras terletak di bawah KPKM.

"Namun, jika ada isu yang disebut mengenai kartel beras ini, KPDN khususnya MyCC, kita terbuka sekiranya KPKM atau pihak tertentu ada maklumat, boleh salurkannya kepada MyCC," katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa cadangan pelaksanaan beras putih Malaysia Madani, mampu mengekang industri beras negara daripada kawalan pihak kartel.

Armizan (tengah) ketika sidang media majlis Prakarsa Pendayaupayaan Pengguna (3P-KPDN) di Putrajaya, hari ini. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Armizan (tengah) ketika sidang media majlis Prakarsa Pendayaupayaan Pengguna (3P-KPDN) di Putrajaya, hari ini. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Perdana Menteri semalam, menegaskan cadangan untuk melaksana beras putih Malaysia Madani, mampu mengekang industri beras negara daripada kawalan pihak kartel.

Sehingga kini, kata beliau, kerajaan masih belum memutuskan pelaksanaannya cadangan berkenaan.

Bagaimanapun beliau berkata, cadangan itu akan diteliti dan dibincang dalam mesyuarat Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).

Mengulas lanjut, Armizan berkata, isu berkaitan insiatif dan penambahbaikan serta pemodenan industri beras dan masih di bawah bidang kuasa KPKM.

"Adalah lebih baik jika Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu yang menjawab isu terbabit," katanya.

Terdahulu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam kenyataannya menjelaskan kerajaan belum memutuskan pengenalan satu gred beras putih dikenali beras putih Malaysia Madani seperti diumum Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal merangkap Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).

Pengumuman Syed Hussin berhubung penjualan beras putih Malaysia Madani berharga RM30 bagi kampit 10kg mulai 1 Mac ini, menggantikan beras putih tempatan (SST) dan beras putih import (SSI) menimbulkan persoalan ramai termasuk dalam kalangan pemain industri peruncitan.

Mesyuarat NACCOL dijadual akan berlangsung Jumaat ini.

KPDN mahu pihak yang ada maklumat berkaitan dakwaan kartel dalam industri beras negara supaya salurkan kepadanya. - Foto hiasan NSTP
KPDN mahu pihak yang ada maklumat berkaitan dakwaan kartel dalam industri beras negara supaya salurkan kepadanya. - Foto hiasan NSTP
Berita Harian X