Selasa, 20 Februari 2024 | 1:20pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Tiga beranak ditemui mati tergantung di kipas

NILAI: Seorang wanita bersama dua anaknya ditemui mati dalam keadaan tergantung pada kipas di sebuah rumah di Lenggeng, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, pada jam 9.25 malam, Balai Polis Lenggeng menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki mengenai kejadian itu.

"Lelaki itu memaklumkan terdapat seorang wanita dan dua kanak-kanak ditemui mati tergantung di sebuah taman perumahan.

"Hasil siasatan awal mendapati si mati seorang wanita berumur 34 tahun dan dua kanak-kanak perempuan berusia tiga serta enam tahun dijumpai mati tergantung di kipas," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim.

Polis turut menemui satu nota di tempat kejadian.

"Susulan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Nilai menahan suami mangsa kira-kira jam 1 pagi tadi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Permohonan reman dipohon di Mahkamah Majistret Seremban pada pagi ini dan reman dibenarkan selama empat hari bermula hingga 23 Februari depan," katanya.

Tambahnya, ketiga-tiga mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban untuk bedah siasat.

Berita Harian X