Selasa, 20 Februari 2024 | 1:02pm

DOSA hanya bebankan kewangan kerajaan

KUALA LUMPUR: Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyifatkan cadangan untuk menyediakan kawasan khas merokok atau Designated Outdoor Smoking Area (DOSA) di kawasan sesak termasuk berhampiran premis makanan hanya akan membebankan kewangan negara selain boleh menggagalkan usaha untuk denormalisasi amalan merokok dalam kalangan masyarakat.

"Untuk rekod, KKM telah mewartakan larangan merokok di premis makanan bermula 1 Januari 2019 di bawah Peraturan 11(1)(d), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, Akta Makanan 1983 [Akta 281].

"Larangan ini termasuklah penggunaan rokok elektronik atau vape dan juga shisha.

"Pewartaan undang-undang terbabit bertujuan melindungi golongan majoriti di Malaysia iaitu golongan bukan perokok terutamanya warga emas, wanita mengandung, kanak-kanak dan golongan berisiko tinggi daripada terdedah kepada bahaya asap atau wap produk merokok, selari dengan Artikel 8 World Health Organization Framework Convention on Tobacco Control (WHO FCTC)," katanya dalam kenyataan.

IKRAM berkata, berbanding negara maju lain di mana keseluruhan tempat awam adalah tempat dilarang merokok, Malaysia mengambil pendekatan dengan menetapkan hanya 23 tempat setakat ini sebagai zon larangan merokok.

"Perokok pula masih mempunyai 1,001 lagi kawasan yang masih tidak dilarang untuk merokok," katanya.

Justeru, penyediaan DOSA sebenarnya akan membebankan kewangan negara kerana kerajaan melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terpaksa menampung kos pembinaan dan penyelenggaraannya.

"Bahkan pembinaan DOSA ini juga boleh menggagalkan usaha untuk denormalisasi amalan merokok dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan orang belum dewasa.

"Bagi sesebuah kawasan yang sangat sesak di mana jarak tiga meter daripada premis makan itu termasuk premis makan yang lain atau kawasan larangan yang lain, kami mencadangkan agar keseluruhan kawasan tersebut dijadikan zon larangan merokok yang besar, contohnya di seluruh Bukit Bintang.

"Penyediaan DOSA pula boleh diletakkan di beberapa sudut sempadan zon larangan terbabit.

"Langkah ini akan lebih memudahkan penguatkuasaan dijalankan kerana seluruh kawasan telah diwartakan sebagai zon larangan merokok melainkan di DOSA sahaja," katanya.

Oleh itu, IKRAM berkata, bagi sesiapa yang merokok atau vaping di luar DOSA, penguat kuasa boleh terus mengenakan kompaun atau denda.

"Justeru, IKRAM yakin KKM akan lebih mengutamakan golongan majoriti bukan perokok yang kini sentiasa terdedah kepada bahaya asap rokok sebagai perokok pasif di mana-mana.

"Kesihatan awam serta kebersihan persekitaran udara yang segar tanpa asap rokok serta wap vape mestilah menjadi prioriti Kerajaan MADANI hari ini," katanya

KKM sebelum ini berkata akan mewujudkan kawasan khusus untuk merokok di lokasi awam.

Berita Harian X