Isnin, 19 Februari 2024 | 11:41pm
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri. NSTP/ NIK ABDULLAH NIK OMAR
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri. NSTP/ NIK ABDULLAH NIK OMAR

LaWa tawar program kemahiran, aktiviti pemerkasaan wanita

KOTA BHARU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggalakkan peningkatan kadar penyertaan wanita dalam ekonomi serta tenaga buruh, menerusi penawaran program kemahiran di Laman Wanita (LaWa), kata Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata, usaha itu dapat membantu golongan wanita menjana pendapatan untuk diri sendiri dan keluarga, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan.

"Hal ini selaras inspirasi Ekonomi Madani untuk meningkatkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita kepada 60 peratus.

"LaWa kini menjadi pusat aktiviti setempat, yang menawarkan pelbagai program dan aktiviti pemerkasaan wanita melalui aspek peningkatan kemahiran asas, selain mewujudkan jaringan sosial serta pusat maklumat asas berhubung pelbagai isu wanita," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan LaWa Negeri Cik Siti Wan Kembang bersempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024 di sini, hari ini.

Nancy berkata, semua program dan aktiviti itu menyokong aspirasi pemerkasaan wanita merangkumi aspek ekonomi, kesejahteraan, keselamatan serta kepimpinan diberikan perhatian khusus kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

"LaWa turut melaksanakan program dan aktiviti melalui kolaborasi strategik bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO).

"Secara keseluruhannya, pada masa ini Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) mempunyai 14 LaWa di tujuh negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kelantan dan Wilayah Persekutuan Labuan," katanya.

Nancy berkata, secara khusus, di Kelantan terdapat dua LaWa iaitu di Kota Bharu dan Tanah Merah, malah sepanjang tahun lalu, sebanyak 152 program dilaksanakan Pejabat Pembangunan Wanita (PPWN) Kelantan yang disertai komuniti, ibu tunggal serta suri rumah.

Beliau berkata, antara program dianjurkan membabitkan industri makanan ialah produk pastri, penghasilan biskut, kuih tradisional, seni jahitan pakaian serta jahitan kreatif, yang membantu peserta meraih pendapatan. – BERNAMA

Berita Harian X