Isnin, 19 Februari 2024 | 7:02pm
Ewon (dua, kanan) melawat reruai jualan usahawan AIM pada pelancaran produk makanan ‘Sambal Mek Ngoh’ hari ini. - Foto BERNAMA
Ewon (dua, kanan) melawat reruai jualan usahawan AIM pada pelancaran produk makanan ‘Sambal Mek Ngoh’ hari ini. - Foto BERNAMA

KUSKOP mudahkan urusan pinjaman usahawan berdepan kenaikan harga barang

KUALA TERENGGANU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui pelbagai agensinya akan memudah cara urusan pinjaman perniagaan kepada usahawan mikro yang terkesan dengan kenaikan kos dan harga barang.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata perkara itu termasuk sekiranya terdapat usahawan memerlukan pinjaman pada kadar maksimum atas faktor kenaikan harga barang yang meningkatkan kos operasi mereka.

"Saya sudah meminta semua agensi untuk memudah cara urusan pinjaman usahawan. Inilah peranan kementerian dan agensi di bawahnya, seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tekun Nasional dan SME Corporation Malaysia, untuk membantu perusahaan kecil memulakan atau mengembangkan perniagaan.

"Namun sudah tentu terdapat kriteria dan syarat untuk dipenuhi, seperti jika terdapat faktor (masalah) perundangan yang menyukarkan kita untuk memberi pinjaman…Pembiayaan yang diberikan juga mengikut skala operasi dan pengeluaran produk usahawan itu sendiri," katanya selepas melancarkan produk keluaran usahawan AIM, 'Sambal Mek Ngoh' di sini hari ini.

Sementara itu, Ewon berkata, KUSKOP juga sentiasa 'membuka pintunya' untuk membantu usahawan, terutama usahawan kecil yang masih terkesan dengan pandemik COVID-19.

"Dalam libat urus saya dengan industri contohnya Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) memaklumkan, sebelum ini mereka mempunyai sekitar 30,000 ahli memiliki perniagaan, namun jumlah itu berkurangan kepada 23,000 selepas COVID-19.

"Ini baru satu persatuan. Mereka ini juga kita akan memudah cara urusan mendapatkan pembiayaan, bagi memulakan kembali perniagaan mereka," katanya.

Selain itu, Ewon berkata COVID-19 juga menyaksikan ramai pekerja profesional mula berkecimpung dalam bidang keusahawanan, kerana kehilangan pekerjaan dan kementerian juga bersedia membantu golongan ini. – BERNAMA

Berita Harian X