Isnin, 19 Februari 2024 | 5:40pm

Cadangan beras putih Madani mampu sekat campur tangan kartel - Anwar

KUALA LUMPUR : Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan cadangan untuk melaksana beras putih Malaysia Madani, mampu mengekang industri beras negara dari kawalan oleh pihak kartel.

Sehingga kini, kata beliau, kerajaan masih belum memutuskan pelaksanaannya, sebaliknya akan diteliti dan dibincang dalam mesyuarat Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).

"(Beras putih Madani) bukan (untuk sokong kartel), (sebaliknya) ini boleh sekat campur tangan kartel (beras). Ia akan dibincangkan dalam NACCOL dan belum ada keputusan," katanya ringkas.

Beliau berkata demikian ditemui media pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama warga kerja Maybank di sini, hari ini.

Turut sama hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar.

Beliau menjawab gesaan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh yang memintanya untuk tidak membenarkan cadangan beras putih Malaysia Madani dilaksanakan, berikutan ia didakwa seperti menyokong perbuatan kartel yang mencampurkan beras tempatan dan beras import.

Anwar menegaskan cadangan untuk melaksana beras putih Malaysia Madani, mampu mengekang industri beras negara dari kawalan oleh pihak kartel. - NSTP/Danial Saad
Anwar menegaskan cadangan untuk melaksana beras putih Malaysia Madani, mampu mengekang industri beras negara dari kawalan oleh pihak kartel. - NSTP/Danial Saad

Akmal turut mempersoalkan kewajaran cadangan itu kerana ia seperti membunuh pasaran beras tempatan yang dijual lebih murah berbanding beras Madani.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam kenyataannya turut menjelaskan kerajaan belum memutuskan pengenalan satu gred beras putih dikenali beras putih Malaysia Madani seperti diumum Pengerusi NACCOL, yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Pengumuman Syed Hussin berhubung penjualan beras putih Malaysia Madani berharga RM30 bagi kampit 10kg mulai 1 Mac ini, menggantikan beras putih tempatan (SST) dan beras putih import (SSI) menimbulkan persoalan ramai termasuk dalam kalangan pemain industri peruncitan.

Mesyuarat NACCOL dijadual akan berlangsung Jumaat ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Pelancaran Program Memperkasakan PKS, MyImpact SME Hub di Menara Maybank, Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Pelancaran Program Memperkasakan PKS, MyImpact SME Hub di Menara Maybank, Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Berita Harian X