Isnin, 19 Februari 2024 | 5:39pm
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof. - Foto fail NSTP/Saifullizam Tamadi
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof. - Foto fail NSTP/Saifullizam Tamadi

Tunggu hasil kajian, syor jawatankuasa khas sebelum bentang RUU 355

PUTRAJAYA: Sebarang cadangan membentangkan Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di Parlimen seharusnya dibuat selepas Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam mengemukakan laporan kajian dan syor mereka.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata hasil kajian dan syor itu perlu diutamakan supaya isu pertembungan kuasa undang-undang antara Persekutuan dan negeri dapat diselesaikan.

"Saya rasa apa yang perlu diutamakan ialah jawatankuasa khas yang ditubuhkan di bawah MKI (Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia).

"Itu kita nak tengok dahulu apa hasilnya kerana sekarang masih tidak ada lagi apa hasil dia, perancangan dan cadangan dalam konteks pertembungan ini.

"Macam mana kita boleh kata nak bagi satu penyelesaian, sedangkan kita tidak mengenal pasti apa masalahnya.

"Jadi kita kena dengar dahulu apa jawatankuasa khas ini kata. Sejauh mana pertembungan itu dan sebagainya, itu lebih utama," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar memaklumkan akan berbincang terlebih dahulu dengan Perdana Menteri mengenai cadangan membentangkan pindaan Akta 355.

Katanya, ia sama seperti dalam perancangan sebelum ini.

Menurutnya, sesi libat urus mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) kini di peringkat akhir dan laporannya akan dibawa ke Kabinet sebelum dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata ketika menjawat jawatan sebagai menteri bagi hal ehwal agama pada 2018, kerajaan ketika itu meletakkan RUU 355 dalam perhatian.

Katanya, kerajaan meletakkan ada perkara lain yang perlu diutama seperti Akta Guaman Syarie yang tertangguh hampir 12 tahun tidak dilaksanakan, isu penyelarasan undang-undang jenayah syariah dan meningkatkan keupayaan hakim syariah melalui kursus serta latihan yang melayakkan mereka membuat penghakiman lebih berkualiti.

"Jadi apabila kita melihat keutamaan ini berbanding perhatian kepada RUU 355, kita merasakan pada waktu itu, RUU 355 yang akan memberi kuasa sangat besar kepada undang-undang jenayah syariah, yang akan menjangkau lebih daripada hukuman 356 (tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan), sedangkan teras asas kehakiman dan penghakiman itu sendiri belum tersedia.

"Saya juga fikir perkara ini tidak semudah yang dijangka kerana ia perlu melalui pelbagai proses dan tahap yang perlu diambil kira kerana ia akan dibawa ke Parlimen, akan dibahaskan dan terbuka kepada pandangan serta kritikan.

"Sedangkan perkara itu nanti yang dalam keadaan sekarang pun, orang mudah melabel. Apabila tak setuju, kata nak tentang Islam sedangkan perkara ini soal teknikal perundangan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan kertas cadangan RUU itu sudah berada di peringkat Jabatan Peguam Negara, namun tidak sempat dibentangkan berikutan Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober 2022.

Pada 2016, Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Abdul Hadi Awang, mengemukakan pindaan kepada RUU355 sebagai rang undang-undang ahli persendirian.

Pindaan itu bertujuan mengenakan hukuman yang lebih berat bagi kesalahan syariah dengan meningkatkan had hukuman maksimum mahkamah syariah kepada 30 tahun penjara, denda RM100,000, dan 100 sebatan rotan.

Pada masa itu, had berkenaan adalah hukuman penjara selama tiga tahun, denda RM5,000, dan enam sebatan rotan.

Berita Harian X