Isnin, 19 Februari 2024 | 5:05pm
Prabowo Subianto. - Foto AFP
Prabowo Subianto. - Foto AFP

Pilihan raya Presiden Indonesia: Prabowo dijangka tarik sokongan parti pesaing

JAKARTA: Biarpun sudah mengukuhkan kedudukan untuk menjadi pemimpin baharu Indonesia, Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto dijangka menarik sokongan daripada beberapa parti pesaingnya pada Pilihan Raya Presiden (PILPRES), yang berlangsung minggu lalu.

Bekas Jeneral yang belum rasmi disahkan sebagai 'kepala negara' baharu bagi menggantikan Joko 'Jokowi' Widodo, Oktober depan, ketika ini sudah mengisytiharkan kemenangannya berdasarkan kiraan tidak rasmi 'quick count' yang mempunyai lebih 96 peratus ketepatan dalam sistem demokrasi.

Bagaimanapun, Prabowo yang bergandingan dengan Gibran Rakabuming Raka sebagai Wakil Presiden selepas ini dijangka cuba meraih sokongan parti lain untuk bergabung sebagai kerajaan dalam usaha mengukuhkan kedudukannya di Parlimen Indonesia.

Pemerhati politik yang juga Pengasas Trust Indonesia Research and Consulting, Febrian Amanda, berkata walaupun kedudukan Prabowo-Gibran tidak tercabar di Parlimen, usaha berkenaan masih perlu dilakukan bagi memastikan langkah dan program kerajaan yang diumumkannya kelak mendapat sokongan wakil rakyat.

Beliau berkata, kedudukan Prabowo yang mengetuai Parti Gerindra di Parlimen setakat ini sudah kukuh bersama Parti Golkar, Demokrat dan PAN.

"Kedudukan Prabowo tidak sesekali tercabar di Parlimen memandangkan beliau dipilih secara 'one on one' oleh rakyat dalam PILPRES. Tetapi beliau tetap perlu mendapat dukungan Ahli Parlimen ketika menerajui Indonesia sebagai kepala negara.

"Jadi kemungkinan besar akan berlaku rundingan politik untuk menyokong Prabowo supaya beliau dapat mengawal program kerajaan yang diperkenalkan nanti.

"Malah, difahamkan, berlaku pembabitan Pak Jokowi apabila beliau didakwa mengadakan pertemuan dengan Ketua Umum Partai Nas Dem, Surya Paloh, malam tadi (kelmarin). Kita tidak mengetahui apakah inti pati pertemuan ini tetapi ia berkemungkinan besar supaya sokongan diberikan kepada Prabowo," katanya ketika ditemubual BH, di sini semalam.

Ditanya mengenai rundingan itu akan membabitkan kubu calon presiden 01 (Anies Rasyid Baswedan) dan calon presiden 03, Ganjar Pranowo, Febrian berkata, ia mungkin terjadi tetapi mereka berdua dijangka membuat tentangan hebat susulan keputusan rasmi Pemilihan Umum Indonesia (PEMILU) 2024 yang diumumkan Komisi Pemilihan Umum (KPU), kira-kira sebulan lagi.

Isu penipuan PEMILU

Beliau berkata, Anies Rasyid dijangka membawa isu penipuan PEMILU 2024 secara undang-undang iaitu dilaporkan kepada Badan Pengawas Pemilihan Umum (BAWASLU) sebelum dibawa ke Mahkamah Konstitusi Republik Indonesia kerana ia terkait dengan perkara membabitkan perundangan negara.

"Anies Rasyid akan membuat perhitungan sedemikian kerana berasakan kecurangan sudah terjadi sejak pemilihan Gibran sebagai calon Wakil Presiden lagi apabila perlembagaan diubah dan berlaku pelanggaran.

"Namun kita juga harus bersyukur, ketika ini tidak berlaku ketegangan awam seperti PEMILU masa lalu, memandangkan rakyat terpecah kepada tiga (penyokong Prabowo, Anies Rasyid, Ganjar). Ramai rakyat menyokong Prabowo," katanya.

Mengenai faktor kemaraan Prabowo mengatasi dua lagi pesaingnya, Febrian menjelaskan, faktor Jokowi adalah berat tetapi ia mempengaruhi kira-kira 20 peratus sahaja, memandangkan bekas jeneral sememangnya terkenal dalam masyarakat Indonesia.

"Faktor Jokowi dilihat 'terang benderang' kerana di situ adanya Gibran, tetapi rakyat Indonesia memang sudah mengenali nama Prabowo berbanding Anies Rasyid dan Ganjar kerana beliau sudah bersaing dalam tiga PEMILU terdahulu. Nama beliau meniti di bibir masyarakat walaupun ada yang tidak tahu siapakah sebenar beliau, sekali gus memberi kelebihannya untuk diundi.

"Selain itu, dalam kempen Prabowo kali ini juga cukup bijak kerana mereka menyasarkan kumpulan anak muda milenial yang merangkumi 52 peratus keseluruhan pengundi pada PEMILU kali ini," katanya.

Beliau berkata, Prabowo mendapat kemenangan mudah selepas memperoleh dukungan hebat di wilayah Jawa yang menempatkan dua pertiga daripada 205 juta pengundi Indonesia.

Berita Harian X