Isnin, 19 Februari 2024 | 3:44pm
Dayana Rogayah Omar
Dayana Rogayah Omar

Seorang lagi pegawai kanan LTAT letak jawatan

KUALA LUMPUR: Seorang lagi pengurusan kanan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) meletakkan jawatannya hari ini menjadikannya tiga peletakan jawatan sejak sebulan lalu dalam tabung persaranaan untuk 120,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia itu.

Pengarah Kanan Strategi LTAT, Dayana Rogayah Omar dilaporkan mengemukakan surat peletakan jawatannya itu bagi mengejar kepentingan lain.

Sebelum ini, LTAT menyaksikan perletakan jawatan Ketua Eksekutif (CEO), Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman pada 31 Januari 2024 diikuti oleh Pengerusi, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pada 8 Februari 2024.

Surat peletakan jawatan Ahmad Nazim kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Khaled Nordin yang dilihat oleh New Straits Times (NST) melahirkan kebimbangan bahawa keputusan untuk menangguhkan Pelan Strategik LTAT 2023-2025 akan menjejaskan pelaksanaan dan menimbulkan risiko besar kepada kunci kira-kira LTAT, selain memberi kesan kepada keupayaan memenuhi sasaran dividen minimum untuk 2023.

Sementara itu, Pharmaniaga Bhd hari ini turut mengumumkan bahawa Dayana meletak jawatan sebagai Anggota Lembaga Pengarah berkuat kuasa 14 Februari 2024.

Lembaga Pengarah Pharmaniaga menerima surat peletakan jawatan pada 16 Februari 2024.

Dayana, dilantik sebagai pengarah ganti untuk seorang lagi penama LTAT, iaitu Ketua Pegawai Kewangannya, Mohammad Ashraf Md Radzi.

Pharmaniaga menyerahkan pelan penyusunan semula syarikat itu pada 29 November 2023.

Berita Harian X