Isnin, 19 Februari 2024 | 3:30pm
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. Gambar fail
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. Gambar fail

'PAS sedia tegur pihak yang cuba lemahkan usaha pinda RUU 355'

KUALA LUMPUR: PAS memberi jaminan akan memberi sokongan terhadap langkah kerajaan meminda Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) yang dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata parti itu istiqamah dan terus mendukung langkah ke arah memartabatkan syariah dalam negara bersama dengan mana-mana pihak.

Pada masa sama, katanya, PAS terus menegur mana-mana kumpulan yang bertindak melemahkannya.

"PAS memberi jaminan akan memberi sokongan penuh terhadap langkah kerajaan ini.

"Saya berharap agenda ini mendapat dukungan daripada parti komponen dalam kerajaan dengan sebaiknya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar semalam, dilaporkan berkata, sesi libat urus bagi meminda RUU 355 kini pada peringkat akhir dan laporannya akan dibawa ke Kabinet sebelum dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Mohd Na'im berkata, sesi libat urus itu yang dikendalikan Bahagian Undang-Undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah berada pada peringkat akhir.

Pada 2016, Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Abdul Hadi Awang, mengemukakan pindaan kepada RUU 355 sebagai rang undang-undang ahli persendirian.

Pindaan itu bertujuan mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan syariah dengan meningkatkan had hukuman maksimum mahkamah syariah kepada 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan 100 sebatan rotan.

Pada masa itu, had berkenaan adalah hukuman penjara selama tiga tahun, denda RM5,000, dan enam sebatan rotan.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, usaha yang dilakukan kerajaan terdahulu patut disokong dan mendapat kelulusan di Parlimen oleh majoriti wakil rakyat.

"Ketika PAS dalam kerajaan di antara 2020 hingga 2022, kita membawa agenda pemerkasaan RUU 355 dengan kali terakhir Kerajaan Perikatan Nasional (PN) meluluskan secara dasar pada 7 Oktober 2022, RUU 355 disemak dan diluluskan Jabatan Peguam Negara.

"Kemuncaknya, RUU 355 sedia untuk dibentangkan di Parlimen, namun terhenti akibat pembubaran Parlimen ke-14. Alhamdulillah, pindaan terhadap RUU 355 diberikan jaminan oleh Mohd Na'im yang akan dilaksanakan pada tahun ini," katanya.

Berita Harian X