Isnin, 19 Februari 2024 | 12:44pm
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika perasmian Mesyuarat Sesi ke 28 Codex Committee for Fats and Oils (CCFO) di Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aziah Azmee
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika perasmian Mesyuarat Sesi ke 28 Codex Committee for Fats and Oils (CCFO) di Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aziah Azmee

CCFO muktamad standard minyak sayuran, haiwan minggu ini

KUALA LUMPUR: Penetapan standard beberapa jenis minyak sayuran dan haiwan serta langkah mengurangkan asid lemak trans dijangka dimuktamadkan Jawatankuasa Codex bagi Lemak dan Minyak (CCFO), minggu ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata ia membabitkan minyak avokado, sacha inchi, biji camelia dan soya tinggi oleik serta minyak ikan Calanus.

Beliau berkata, ketetapan itu akan dibincangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Codex bagi Lemak dan Minyak (CCFO) Ke-28 yang berlangsung di ibu negara hingga Jumaat ini.

Selain itu, katanya, mesyuarat berkenaan juga dijangka membuat ketetapan bagi langkah mengurangkan asid lemak trans atau lemak terhidrogen separa dalam makanan.

"CCFO perlu memenuhi peningkatan permintaan untuk lemak dan minyak selamat dan lebih berkualiti serta bagi menetapkan standard menjaga ketulenannya.

"Ini kerana, jumlah pengeluaran minyak dan lemak meningkat sebanyak 28 peratus sepanjang sedekad lalu, selain purata penggunaan per kapita dunia turut meningkat kepada 31 kilogram (kg) tahun lalu, berbanding 27kg pada 2013.

"Jumlah pengeluaran minyak dan lemak dunia adalah 252 juta tan tahun lalu, masing-masing 81 juta tan minyak sawit, manakala minyak kacang soya (59 juta tan).

"Kedua-dua minyak sayuran utama ini mewakili 56 peratus daripada keseluruhan pengeluaran minyak dan lemak dunia," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat CFFO Ke-28 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi CFFO merangkap Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan (KKM), Noraini Eksan; Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Dr Zaini Ujang serta Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Dr Dzulkefly berkata, mesyuarat sama juga dijangka membincangkan penilaian keselamatan Jawatankuasa Pakar Bersama mengenai Aditif Makanan (JECFA) ke atas bahan dibawa kargo yang mengangkut lemak dan minyak makan.

Penilaian keselamatan itu, katanya, penting bagi memastikan hanya kargo yang membawa bahan selamat dan menepati kriteria ditetapkan boleh diterima untuk mengangkut minyak dan lemak makan.

"Malaysia, khususnya KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan akan meneruskan tanggungjawab dengan memberi komitmen tinggi dalam melaksanakan mandat diberikan Suruhanjaya Codex Alimentarius (CAC).

"CFFO sebelum ini, sudah membangunkan standard bagi 30 minyak sayuran, termasuk kelapa sawit; enam standard minyak ikan; standard lemak sapuan dan marjerin; standard lemak haiwan serta kod amalan baik penyimpanan dan pengangkutan lemak dan minyak makan secara pukal," katanya.

Berita Harian X