Isnin, 19 Februari 2024 | 12:02pm
Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) kini dikenali sebagai Kampus Kuala Lumpur Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) kini dikenali sebagai Kampus Kuala Lumpur Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

PPUKM kini dikenali Kampus Kuala Lumpur UKM

KUALA LUMPUR: Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) kini dikenali sebagai Kampus Kuala Lumpur Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pejabat Pro Naib Canselor (Kampus KL), UKM dalam kenyataan hari ini berkata, perubahan itu susulan keputusan Lembaga Pengarah UKM dalam satu mesyuarat semalam bagi memantapkan proses transformasi lonjakan keupayaan negara di dalam bidang teknologi kesihatan dan perubatan dengan menggerakkan pembentukan sebuah ekosistem teknologi dan penyelidikan kesihatan unggul dalam satu kampus bersepadu.

Katanya, Kampus Kuala Lumpur UKM menempatkan empat fakulti berasaskan perubatan dan kesihatan iaitu Fakulti Perubatan, Fakulti Farmasi, Fakulti Pergigian dan Fakulti Sains Kesihatan, bersama-sama dua kolej kediaman pelajar iaitu Kolej Tun Dr Ismail dan Kolej Tun Syed Nasir selain dua hospital pengajar, Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan Hospital Pakar Kanak-Kanak Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani.

"Kampus Kuala Lumpur UKM juga menempatkan sebuah pusat kecemerlangan pendidikan tinggi, Institut Biologi Molekul Perubatan UKM (UMBI).

"Struktur Kampus Kuala Lumpur diwujudkan pada 2017, dengan penstrukturan semula entiti PPUKM balik kepada pusat tanggungjawab berasingan yang asal iaitu Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (yang kemudian dijenamakan semula sebagai Hospital Canselor Tuanku Muhriz) dan Fakulti Perubatan, sesuai dengan pertumbuhan pesat yang berlaku di kampus zon Cheras ketika itu," menurut kenyataan itu.

Katanya, model kampus pendidikan tinggi berteknologi tinggi seperti ini menjadi pemangkin kepada pemantapan penguasaan teknologi terkehadapan di negara-negara moden, berupaya menarik pelaburan dan bakat antarabangsa dan menujah aktiviti penyelidikan.

"Disamping itu, sebuah Teknopolis Kesihatan sedang dirancang untuk dibangunkan di Kampus Kuala Lumpur UKM, yang akan dimulakan dengan pemindahan kolej kediaman dan tiga fakulti ke Cheras, diunjurkan akan berlaku dalam beberapa tahun lagi," katanya.

Berita Harian X