Isnin, 19 Februari 2024 | 11:12am
Foto hiasan
Foto hiasan

KKM sedia timbang pandangan banyak pihak isu ruang khas merokok

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan bersedia mempertimbang pandangan pelbagai pihak berhubung cadangan menyediakan kawasan khas merokok, terutama bagi premis makanan di kawasan sempit.

Menteri, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata ia bagi memastikan penyelesaian terbaik dan menyeluruh dapat diwujudkan, sebelum sebarang keputusan mengenainya dimuktamadkan.

Beliau berkata, pihaknya terbuka bagi sebarang syor yang munasabah dan praktikal untuk memastikan larangan merokok di premis makanan di seluruh negara sentiasa dikuatkuasakan.

"Ia asalnya adalah pandangan kami (selepas) disyorkan melalui libat urus (bersama) lebih 30 pemilik premis dan penjaja (di Jalan Alor, di sini).

"Namun, kalau ia (cadangan memansuhkan syor menyediakan kawasan khas merokok) diminta, kami akan pertimbangkannya dan melihat kepada praktikaliti dan kemunasabahan pelaksanaannya. Maksudnya kami mendengar, tidak terlalu rigid.

"Saya sebut perkara ini (cadangan menyediakan kawasan khas merokok) dengan segala pertanggungjawaban, keinsafan dan kesedaran yang kita tidak akan berpatah balik ke belakang (untuk memansuhkan larangan merokok di premis makanan)," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Codex bagi Lemak dan Minyak (CCFO) Ke-28 di sini, hari ini.

KKM semalam dilapor mempertimbang menyediakan kawasan khas merokok berhampiran premis makanan di kawasan sempit seperti Jalan Alor, Bukit Bintang di sini.

Ia mengambil kira keperluan perokok dan bukan perokok di sesuatu premis makanan dengan penekanan itu diberi kepada kepentingan ruang ditetapkan seperti dilakukan di Singapura dan Jepun.

Sebelum ini, tindakan penguatkuasaan larangan merokok di luar jarak tiga meter (m) dari premis makanan dilaksanakan sepenuhnya mulai 1 Januari 2020.

Kegagalan mematuhi larangan itu menyebabkan perokok akan didakwa di mahkamah dan sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun.

Pada 1 Januari 2019, KKM mewartakan semua premis makanan sebagai tempat larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018, Akta Makanan 1983.

Memperincikan rasional cadangan mewujudkan kawasan khas merokok, Dr Dzulkefly berkata, ia bertujuan memastikan aktiviti penguatkuasaan bagi larangan merokok di premis makanan dapat dibuat secara berkesan dan menyeluruh.

"Di Jalan Alor misalnya, saya sendiri turun padang dan lihat agak mustahil untuk kita laksanakan (larangan merokok) bagi jarak 3m. Justeru, kita mempertimbang mewujudkan ruang merokok bagi pelanggan selepas beberapa jam mereka berada di situ.

"Namun, cadangan ini tidak hanya tertakluk kepada Jalan Alor sahaja, tetapi di mana-mana pun situasi yang terdapat kekangan untuk melaksanakan (penguatkuasaan larangan merokok) kerana faktor ruang. Kami bersedia mempertimbangkannya dengan syarat sangat ketat," katanya.

Berita Harian X